Isnin, 15 Januari 2018 | 2:49pm
TAPAK projek pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.- Foto NSTP/Zunnur Al Shafiq

Synergy Promenade kembalikan tanah FELDA?

KUALA LUMPUR: Spekulasi kemungkinan FELDA memperoleh kembali tanahnya bernilai RM270 juta daripada pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), Synergy Promenade Sdn Bhd dijangka terjawab hari ini.

Perkembangan terbaru itu akan terjawab apabila Pengerusi FELDA, Tan Sri Sharir Samad, dijadualkan membuat sidang media menjelaskan isu terbabit di Menara FELDA pada jam 4 petang ini.

Sejak pagi tadi, khabar angin tersebar menerusi media sosial mendakwa Synergy Promenade akan menyerahkan semula tanah yang dimajukannya bagi projek KLVC kepada FELDA.

Kontroversi membabitkan tanah FELDA tercetus selepas BH mendedahkan, FELDA berisiko kehilangan tanah miliknya bernilai RM270 juta di Jalan Semarak bagi tujuan pembangunan KLVC menerusi transaksi pindah milik yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad adalah Pengerusi FELDA dari 2011 hingga Januari 2017; Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga 2017.

Difahamkan, semua keputusan pelantikan syarikat terbabit, dipercayai dibuat oleh FIC, tetapi hanya dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah FELDA tiga bulan kemudian, iaitu pada 2 September 2014 untuk kelulusan secara retrospektif.

1605 dibaca
Berita Harian X