Isnin, 15 Januari 2018 | 5:32pm

Tanah Jalan Semarak kembali kepada FELDA tanpa kos

KUALA LUMPUR: FELDA memperoleh kembali tanahnya bernilai RM270 juta di Jalan Semarak tanpa kos daripada pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).

Bagaimanapun, siasatan polis dan audit forensik yang sedang berjalan akan diteruskan manakala projek KLVC diteruskan pemaju dengan mengehadkan 'power of attorney' atau kuasa wakil penuh terhadap pembangunan dan status tanah terbabit.

Perkara itu diumumkan Pengerusi FELDA, Tan Sri Sharir Samad, pada sidang media khas di Menara FELDA di sini sebentar tadi.

"Semua tanah yang terbabit dalam pindah milik tanpa pengetahuan dan kelulusan kita (sebelum ini) telah kembali kepada FELDA berserta dokumen untuk melaksanakan proses pindah milik.

"Daripada 16 geran (tanah terbabit), satu geran berada di Pesuruhjaya Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Pejabat Tanah Kuala Lumpur. Tiada kos yang terbabit dalam pindah milik itu," katanya.

Sejak pagi tadi, khabar angin tersebar menerusi media sosial mendakwa Synergy Promenade akan menyerahkan semula tanah yang dimajukannya bagi projek KLVC kepada FELDA.

Kontroversi membabitkan tanah FELDA tercetus selepas BH mendedahkan, FELDA berisiko kehilangan tanah miliknya bernilai RM270 juta di Jalan Semarak bagi tujuan pembangunan KLVC menerusi transaksi pindah milik yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad adalah Pengerusi FELDA dari 2011 hingga Januari 2017; Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga 2017.

Difahamkan, semua keputusan pelantikan syarikat terbabit, dipercayai dibuat oleh FIC, tetapi hanya dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah FELDA tiga bulan kemudian, iaitu pada 2 September 2014 untuk kelulusan secara retrospektif.

4024 dibaca
TAN Sri Shahrir Abdul Samad, menunjukkan antara dokumen permindahan hak milik tanah kepada FELDA ketika sidang media perkembangan terbaru berkaitan tanah FELDA di Jalan Semarak, di Menara FELDA, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X