Selasa, 16 Januari 2018 | 7:45am

Amaran laut bergelora, ribut petir

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang, laut bergelora dan ribut petir di beberapa perairan negara masih berterusan hingga lewat pagi ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman web METMalaysia pada jam 6 pagi tadi, kawasan dijangka terjejas bagi kategori pertama adalah perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur.

Bagi kategori kedua pula meliputi Sarawak, Labuan dan Sabah.

"Angin kencang timuran dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (km/j) dan ketinggian ombak melebihi 4.5 meter.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan, menangkap ikan dan perkhidmatan feri," kata kenyataan itu.

Amaran ribut petir turut dikeluarkan bagi kawasan perairan di perairan Sabah (Kudat dan Sandakan) dan Sarawak (Kuching, Rejang, Mukah dan Bintulu).

Keadaan ini menyebabkan angin kencang sehingga 50 km/j dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir yang berbahaya untuk aktiviti perkapalan membabitkan perairan Tioman, Bunguran, Condore, Reef North, Layang-layang, Reef South, Palawan dan Sulu yang dijangka berterusan sehingga lewat pagi ini.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak," kata kenyataan itu.

Berita Harian X