Selasa, 16 Januari 2018 | 4:13pm
WAKIL Felda, Nur Nada Mohd Mokhtar (kanan) menyerahkan memorandum bantahan terhadap larangan minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) kepada Timbalan Ketua Misi Kedutaan Belgium, Matthias Vanheusden (kiri) di Menara Tan & Tan , Jalan Tun Razak.- Foto Mohd Yusni Ariffin
SEBAHAGIAN anak muda peneroka Felda menyertai bantahan dan menyerahkan memorandum bantahan terhadap larangan minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) di Menara Tan & Tan , Jalan Tun Razak. - Foto Mohd Yusni Ariffin
SEBAHAGIAN peneroka Felda dari negeri Sarawak menyertai bantahan dan menyerahkan memorandum bantahan terhadap larangan minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) di Menara Tan & Tan , Jalan Tun Razak.- Foto Mohd Yusni Ariffin

EU zalim, tak berhati perut

KUALA LUMPUR: Kira-kira 500 ahli Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) melakukan demonstrasi aman membantah tindakan Kesatuan Eropah (EU) menyekat produk minyak sawit dari negara Asia.

Presidennya, Datuk Aliasak Ambia, berkata tindakan pengharaman tanpa sebarang sebab itu, sangat zalim dan tidak berhati perut.

"EU perlu tahu, pengharaman yang kami sifatkan sebagai diskriminasi tanaman berupa apartheid itu, bukan saja menjejaskan 650,000 pekebun kecil di Malaysia yang bergantung kepada tanaman sawit, malah memberi impak negatif kepada ekonomi negara.

"Sawit adalah antara penyumbang utama eksport negara dengan nilai lebih RM60 billion setahun, malah umum mengetahui Malaysia adalah antara pengeluar utama global selain Indonesia.

"Justeru, kita tidak boleh berdiam diri dan membenarkan diskriminasi ini berlaku," katanya pada sidang media demonstrasi aman di hadapan Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak, di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Pengerusi PKPKM Cawangan FELDA Kumai Baru, Baiduri Fakir dan Setiausaha Agung PKPKM, Adzmi Hassan.

Aliasak dan Adzmi juga menghantar dokumen sebab bantahan ke Pejabat Kedutaan EU, di sini.

Mengulas lanjut, Aliasak berkata, diskriminasi yang dilakukan ke atas negara membangun itu jelas melanggar semua perjanjian Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) yang mereka tandatangani.

Aliasak berkata, tindakan mengecualikan bahan bakar biosawit daripada tenaga diperbaharui juga adalah langkah terkebelakang.

Larangan yang dicadangkan oleh EU itu mula diusulkan dalam Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy Directive - RED), iaitu undang-undang EU yang menyelia semua peraturan berkaitan tenaga boleh diperbaharui, termasuk bahan bakar biosawit.

EU mengesahkan rancangannya mengharamkan bahan bakar biosawit, yang menjadi sebahagian besar eksport Malaysia. Pengharaman itu bermula tahun 2021.

Berita Harian X