Selasa, 16 Januari 2018 | 9:20pm
Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) . - Gambar hiasan

Kenyataan Shafie satu penghinaan - RELA

KUALA LUMPUR: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) kesal dengan kenyataan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal yang mempersoalkan kredibiliti dan memperlekeh peranan anggota RELA yang ditugaskan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

RELA berpendapat bahawa, kenyataan Shafie mengelirukan terutamanya kepada masyarakat Sabah dan ia adalah satu penghinaan kepada 3.05 juta ahli RELA di seluruh negara.

Menerusi kenyataan media, RELA menjelaskan bahawa, pada 29 September 2017, Mesyuarat Lembaga Penasihat ESSZone meluluskan pembabitan anggota RELA dalam membantu menjaga keselamatan di 10 daerah kawasan ESSZone.

"Melalui inisiatif ini, anggota RELA yang dipilih dalam kalangan penduduk tempatan ditugaskan membantu memastikan keselamatan setempat melalui rondaan komuniti dan penyaluran maklumat.

"Anggota yang dipilih untuk penugasan ini perlu melalui Kursus Asas RELA dan Kursus Khas Penugasan ESSZone yang dikendalikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

"Antara modul yang perlu dilalui oleh anggota termasuklah pengendalian senjata api dan penyaluran maklumat," katanya.

Dalam video berdurasi 21 saat yang viral semalam, Shafie ketika berucap dalam Program Bicara Presiden Warisan di Tuaran dilihat mempertikaikan tindakan menempatkan anggota RELA yang tidak mahir mengendalikan senjata api untuk penugasan di ESSZone.

Beliau turut berkata bahawa anggota RELA hanya sesuai untuk perkhidmatan kawalan trafik di majlis kenduri saja.

Berita Harian X