Selasa, 16 Januari 2018 | 10:34pm
SHAMSUL Bahri (kanan) bersama Pensyarah dan Penyelidik Serangga UMT, Dr Nur Aida Hashim (kiri) menunjukkan gambar ulat black soldier fly (BSF) yang menyerang sarang kelulut. - Foto Aslina Abu Bakar
SHAMSUL Bahri (kanan) bersama Pensyarah dan Penyelidik Serangga UMT, Dr Nur Aida Hashim (kiri) menunjukkan gambar ulat black soldier fly (BSF) yang menyerang sarang kelulut. - Foto Aslina Abu Bakar
PENGUSAHA kelulut mendengar penerangan oleh penyelidik UMT. - Foto Aslina Abu Bakar
PENGUSAHA kelulut mendengar penerangan oleh penyelidik UMT. - Foto Aslina Abu Bakar

Penternak kelulut tidak lagi panik

KUALA NERUS: Kebanyakan penternak kelulut kini tidak lagi panik kerana mereka sudah tahu langkah pencegahan dan cara menangani serangan larva lalat soldadu hitam (BSF) serta kumbang buah yang sebelum ini memusnahkan banyak koloni kelulut.

Ini berikutan usaha yang dilakukan Kumpulan Pemantau (CSI) Kelulut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sejak penubuhannya pada April 2017.

Ketua Penyelidik CSI Kelulut UMT, Prof Madya Dr Shamsul Bahri Abd Razak, berkata pasukan penyelidik itu perlu diwujudkan kerana ancaman BSF dan kumbang buah masih aktif dan boleh menjejaskan industri kelulut yang mempunyai nilai tinggi di dalam dan luar negara.

"Sebelum ini kebanyakan pengkaji kelulut bergerak sendirian untuk mengkaji keadaan semasa biologi kelulut.

"Namun, sejak penubuhan kumpulan CSI, pemindahan ilmu dan maklumat berjaya dicapai melalui beberapa siri jelajah ilmu di seluruh Malaysia yang membabitkan skop penyelidikan lebih khusus daripada penyelidik yang terbabit.

"Kita juga sudah menerbitkan tiga jurnal saintifik mengenai penternakan koloni lebah iaitu 'Mass Infestation of Black Soldier Fly Hermetia Illucens (Diptera: Stratiomyidae) on colonies of the Indo-Malayan Stingless Bees' serta 'Journal of Biodiversity and Environmental Sciences'.

"Artikel ini menjadi laporan pertama pasukan kami yang membuat pendedahan mengenai serangan lalat BSF terhadap koloni kelulut di Malaysia, selain menerangkan serba sedikit cara menangani isu berkenaan," katanya ketika ditemui di Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan UMT, di sini.

SHAMSUL Bahri (dua dari kiri) memberi penerangan kepada pengusaha kelulut pada Persidangan Kelulut Antarabangsa di Kuala Terengganu, baru-baru ini. - Foto Aslina Abu Bakar
SHAMSUL Bahri (dua dari kiri) memberi penerangan kepada pengusaha kelulut pada Persidangan Kelulut Antarabangsa di Kuala Terengganu, baru-baru ini. - Foto Aslina Abu Bakar

CSI Kelulut UMT turut mendapat kerjasama Jabatan Pertanian Negeri, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan, selain agensi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), antaranya Bilut Valley Bee Farm, Pahang; Koperasi Kelulut Batu Kurau; Persatuan Lebah Kelulut Terengganu (PELEKAT) serta Persatuan Usahawan Kelulut Pahang.

Kumpulan itu berusaha membantu memulihkan industri kelulut yang kerugian lebih RM2 juta, dua tahun lalu berikutan ribuan koloni kelulut musnah akibat serangan BSF dan kumbang buah.

Malah, pertambahan pengusaha dan penternak baharu yang semakin bertambah juga memerlukan ilmu secukupnya bagi memastikan kelestarian alam dapat dikekalkan disamping merancakkan lagi industri berkenaan.

Shamsul Bahri berkata, antara langkah pencegahan perlu diambil penternak ialah memastikan kawasan ternakan sentiasa bersih dan terurus.

Katanya, bahan organik seperti sampah, buah-buahan mereput, lopak air yang menjadi habitat serangga perosak perlu dibersihkan.

"Bahan yang digunakan untuk membuat kotak madu (topping) perlu daripada bahan berkualiti. Rekahan di antara kotak dan log perlu ditampal menggunakan bahan seperti selut (sementara), lilin atau silikon yang tidak memudaratkan kelulut.

"Ini akan mencegah daripada lalat bertelur di celah rekahan dan apabila telur menetas, larva akan masuk memudaratkan koloni," katanya.

SHAMSUL Bahri (tengah) bersama Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aieni Haji Mokhtar (kanan) ketika lawatan Ahli Lembaga Pengarah Pengurusan UMT ke ladang kelulut Bukit Kor, Marang. - Foto ihsan UMT
SHAMSUL Bahri (tengah) bersama Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aieni Haji Mokhtar (kanan) ketika lawatan Ahli Lembaga Pengarah Pengurusan UMT ke ladang kelulut Bukit Kor, Marang. - Foto ihsan UMT

Selain itu, katanya, pemantauan berkala perlu dilakukan bagi memastikan langkah awal diambil apabila dilihat sudah ada tanda serangan.

"Ketika menyedut madu (tuai madu), kotak madu jangan dibiarkan lama terdedah kerana ia akan memberi peluang kepada lalat untuk bertelur di dalam sarang," katanya.

Beliau berkata, terdapat tujuh pakar dan penyelidik UMT menganggotai pasukan berkenaan terdiri daripada pakar kelulut, penyelidik serangga, pakar bidang mikrobiologi serta pakar kaji parasit.

"Mereka mempunyai skop kepakaran masing-masing. Penggemblengan tenaga dan kerjasama daripada pelbagai bidang penyelidikan ini amat diperlukan supaya sampel yang diperoleh dapat dikaji dengan lebih mendalam dan tepat.

"Malah, setakat ini hasil daripada laporan dan kajian yang kita jalankan, SBF dan kumbang buah adalah ancaman utama kelulut di Malaysia," katanya.

Beliau yang juga pakar kelulut UMT berkata, pihaknya khuatir terdapat beberapa lagi ancaman yang boleh menjejaskan industri kelulut jika pihaknya tidak mendapat maklumat daripada penternak.

"Pasukan ini akan membuat kajian sebaik mendapat maklumat daripada penternak. Jika mereka tidak memaklumkan terdapat ancaman yang berlaku kepada pasukan kami, kita tidak dapat menjalankan penyelidikan kerana kami yakin terdapat beberapa punca lain lagi boleh mengancam koloni kelulut selain BSF dan kumbang buah.

"Oleh itu, kami mengajak masyarakat terutama penternak madu kelulut menjadi penyumbang kepada penyelidikan menyeluruh yang kita laksanakan ini kerana sampel yang dikeluarkan perlu mempunyai maklumat menyeluruh pelbagai pihak," katanya.

PENYELIDIK kelulut UMT sedang menerangkan simptom ketika ancaman perosak berlaku. - Foto Aslina Abu Bakar
PENYELIDIK kelulut UMT sedang menerangkan simptom ketika ancaman perosak berlaku. - Foto Aslina Abu Bakar

INFO

  • Ketika ini terdapat kira-kira 2,000 penternak kelulut di seluruh negara.

Kumpulan Pemantau (CSI) Kelulut UMT:

  • Diwujudkan bagi membantu memulihkan industri kelulut yang diancam parasit sehingga menyebabkan ribuan kaloni musnah.
  • Bergerak aktif sejak April 2017.
  • Mendapat kerjasama Jabatan Pertanian Negeri, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan.
  • Menerbitkan tiga jurnal saintifik mengenai penternakan koloni lebah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X