Rabu, 17 Januari 2018 | 5:31pm
Setiausaha Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP) yang baharu berkuat kuasa hari ini ketika berucap di Kompleks Tun Abdul Razak, Komtar, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Tung Seang Datuk Bandar MBPP baharu

GEORGETOWN: Setiausaha Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Yew Tung Seang dilantik sebagai Datuk Bandar MBPP baharu berkuat kuasa Sabtu ini.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow, berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Pulau Pinang memberi pertimbangan dan kelulusan terhadap cadangan untuk melantik Tung Seang, seorang arkitek, sebagai Datuk Bandar yang baharu.

"Kerajaan negeri juga akan melantik Addnan Mohd Razali sebagai Setiausaha MBPP, yang mana kedua-dua pelantikan akan berkuat kuasa 20 Januari ini," katanya kepada pemberita dalam pengumuman pelantikan itu di sini hari ini.

Pelantikan Tung Seang untuk menggantikan Datuk Bandar MBPP, Datuk Maimunah Mohd Sharif yang memilih bersara pilihan pada Jumaat ini untuk memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif di UN-Habitat di Nairobi, Kenya.

Kon Yeow berkata majlis serah terima tugas Datuk Bandar baharu akan diadakan pada Jumaat ini, manakala majlis rasmi angkat sumpah MBPP dijangka berlangsung pada 22 Januari.

Maimunah, 56, berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, adalah wanita pertama di Asia yang dilantik pada Disember lalu untuk menjawat jawatan itu menggantikan penyandang Pengarah Eksekutif UN-Habitat, bekas Datuk Bandar Barcelona, Joan Clos yang tamat kontrak secara rasmi tahun lalu. - BERNAMA

Berita Harian X