Khamis, 18 Januari 2018 | 12:11am
DATUK Alexander Nanta Linggi semasa bergambar bersama dengan sebahagian daripada pesara KKLW pada majlis Semarak Kasih Setulus Budi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) 2017 di Hotel Everly Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
DATUK Alexander Nanta Linggi semasa bergambar bersama dengan sebahagian daripada pesara KKLW pada majlis Semarak Kasih Setulus Budi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) 2017 di Hotel Everly Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Cadangan pesara, bekas kakitangan KKLW sentiasa dihargai

PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mengalu-alukan sebarang cadangan pesara atau pegawai yang bertukar keluar ke agensi lain bagi menambah baik tahap perkhidmatan kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sumbangan idea yang positif dan membina diperlukan bagi memastikan setiap perkhidmatan yang dijanjikan dapat disampaikan kepada kumpulan sasar.

"Mungkin dulu, atas faktor kesibukan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, kita tidak mempunyai masa panjang untuk berfikir secara kreatif untuk ditambah baik.

"Bagaimanapun, kini anda sudah boleh menilai sendiri tahap perkhidmatan yang disediakan dan kemukakanlah cadangan sama ada berada di agensi swasta atau korporat, di kampung halaman atau di luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Semarak Kasih, Setulus Budi KKLW Tahun 2017 di Putrajaya, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri I KKLW, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Borhan Dolah; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Datuk Azizan Mohd Sidin; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Norison Ramli dan bekas Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Mohd Arpan Shari.

Ismail Sabri berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima, kerajaan terutamanya KKLW dan agensi mencapai 100 peratus sasaran kerja yang ditetapkan pada tahun lalu.

"Kejayaan ini sudah tentu disumbangkan bukan hanya oleh pegawai yang sedang berkhidmat tetapi ia juga dijayakan pegawai yang sudah bertukar keluar dan bersara pada tahun lalu.

"Saya percaya kita semua mempunyai matlamat sama iaitu memastikan perkhidmatan kerajaan disampaikan kepada setiap rakyat dan pelanggan, sekali gus mampu membantu menjayakan aspirasi dan wawasan negara," katanya.

Terdahulu, seramai 110 pesara dan pegawai yang bertukar keluar dari KKLW diraikan bagi menghargai sumbangan mereka sepanjang berkhidmat di kementerian itu.

Berita Harian X