Khamis, 18 Januari 2018 | 2:39pm
KETUA Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCAM), Datuk Sri Azharuddin Abdul Rahman (tengah) bergambar bersama penuntut dan kakitangan Allied Aeronautics Traning Centre pada majlis Ramah Mesra Allied Aeronautics Training Centre di Pusat Dagangan NZX, Ara Damansara, Petaling Jaya. - Foto Aswadi Alias.

Kapal pencarian MH370 tiba hujung minggu ini

PETALING JAYA: Kapal peneliti dasar laut bagi misi pencarian MH370 dijangka tiba di lokasi pertama pencarian di selatan Lautan Hindi pada Sabtu atau Ahad ini.

Sekalipun, lewat tiga hari di lokasi pencarian, ia tidak menjejaskan misi pencarian pesawat MH370 yang dijadualkan bermula bulan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman, berkata misi pencarian MH370 selama 90 hari itu, masih mengikut jadual.

Katanya, maklumat pencarian dari kapal itu akan diterima setiap hari oleh DCA.

"Perkembangan pertama akan dilapor kepada ahli keluarga melalui laman web khas, media dan orang ramai akan dimaklumkan setiap minggu," kata Azharuddin pada sesi ramah mesra Allied Aeronautics Training Centre di Ara Damansara di sini, hari ini.

Azharuddin turut menyerahkan pentaulihan ATO (Authorised Training Organisation) kepada Ketua Pegawai Eksekutif Allied Aeronautics Training Centre, Vickneswaran Shanmugam.

Operasi pencarian MH370 disambung semula susulan pemeteraian perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity Limited pada 10 Januari lalu.

Operasi pencarian di kawasan seluas 25,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi itu membabitkan kapal peneliti dasar laut yang mempunyai sistem sonar dan lapan kenderaan dalam air automatik (AUV).

Ocean Infinity bertanggungjawab mengenal pasti lokasi sebenar bangkai pesawat, serpihan besar dan kotak hitam di lokasi pencarian baharu itu.

Azharuddin berkata, perjanjian bagi misi pencarian itu berdasarkan terma 'No Cure, No Fee' (tiada penemuan, tiada bayaran).

"Setakat ini, kerajaan sudah belanjakan hampir RM1 bilion bagi mencari pesawat yang hilang itu," katanya pencarian MH370 perlu diteruskan mengikut ANNEX 13, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Peraturan ANNEX13 itu menetapkan siasatan kemalangan itu perlu dilakukan bagi mengetahui puncanya dan mengelakkannya insiden sama berulang.

Mengulas isu lain, Azharuddin berkata, DCA akan dinaiktaraf kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkuat kuasa bulan depan.

775 dibaca
Berita Harian X