Khamis, 18 Januari 2018 | 7:40pm
DATUK Seri Hishammuddin Tun Hussein (tengah) melawat pesakit, Mohamad Zain Atan, 68, diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (kiri) dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam (dua dari kanan) di 94 Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, Sungai Udang. - Foto Rasul Azli Samad
DATUK Seri Hishammuddin Tun Hussein (tengah) beramah mesra bersama Exco Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ab Rahaman Ab Karim (dua dari kanan) serta Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ghazali Othman (kanan) diiringi Datuk Seri Dr. S. Subramaniam (tiga dari kiri) dan Datuk Seri Idris Haron (dua dari kiri) di 94 Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, Sungai Udang.- Foto Rasul Azli Samad

Perkasa perkhidmatan kesihatan tentera

MELAKA: Kementerian Pertahanan menggariskan Blueprint Pelan Transformasi Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera 2017-2050 menerusi enam teras utama bagi memperkasa, menjaga kebajikan anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta orang awam.

Enam teras itu adalah memperkasa profesionalisme pengamal perubatan kesihatan ketenteraan; memajukan perkhidmatan perubatan ketenteraan sebagai aset 'human and social security' dan membangunkan sistem penjagaan kesihatan yang terbaik untuk anggota, veteran ATM serta ahli keluarga.

Selain itu, menaik taraf infrastruktur perkhidmatan kesihatan yang lebih kondusif, berkualiti dan seimbang; memperkasa infrastruktur kesihatan di pangkalan dan medan seperti Poliklinik Kesihatan, Hospital Angkatan Tentera sedia ada, penubuhan Hospital Veteran di Tambun, Perak serta meletakkan Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT) kekal relevan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata apa yang dilaksanakan itu tidak hanya berkisar kepada pihak tertentu, sebaliknya ia dilakukan untuk kepentingan semua.

"Ini jelas kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kesihatan bergerak senada.

"Ia juga bukan satu perjalanan yang mudah dan kini sudah dilaksanakan kerana kita (kerajaan) mahu membuktikan janji dan ikrar kita seiring dengan mandat diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan pelan transformasi dan majlis menandatangani nota persefahaman antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kesihatan di 94 Hospital Angkatan Tentera, Kem Terendak, di sini, petang tadi.

Pada majlis sama, Hishammuddin turut mengumumkan kerajaan akan menaik taraf 94 Hospital Angkatan Tentera, selain lima hospital ATM di seluruh negara.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Mengenai 94 Hospital Angkatan Tentera, Hishammuddin berkata projek menaiktaraf hospital itu dijangka bermula tahun ini dan siap sepenuhnya dalam tempoh 36 bulan.

"Ia (hospital) sekali gus bakal memiliki tempat rawatan, tempat kerja lebih kondusif dan menjadi kampus Latihan Kesiagaan Kesihatan ATM dan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental ATM.

"Saya yakin, kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara Kementerian Pertahanan dengan Kementerian Kesihatan terus komited dalam usaha memenuhi aspirasi warga ATM demi kebajikan mereka, khususnya berkaitan aspek kesihatan dan perubatan," katanya.

Berita Harian X