Jumaat, 19 Januari 2018 | 12:52pm

CGPV jalin kerjasama pendidikan di China

GUANGDONG: Pemaju utama Forest City, Wilayah Iskandar Malaysia, Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV), hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan dua institusi pendidikan bagi meningkat lagi kerjasama bidang kemahiran, penyelidikan dan tenaga kerja antara Malaysia dan China.

Kerjasama antara CGPV itu membabitkan Politeknik Country Garden Guandong dan Universiti Kolej Southern yang beroperasi di Johor Bahru.

Ia bertujuan menggilap bakat baharu dalam bidang kemahiran untuk melahirkan graduan yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan global.

Majlis menandatangani MoU itu berlangsung di Politeknik Country Garden Guangdong , Qingyuan, di sini.

CGPV diwakili oleh Pengarah Komunikasi Korporat dan Strateginya, Aeron Munajat, manakala Universiti Kolej Southern diwakili oleh Presidennya, Dr Thock Kiah Wah dan Politeknik Country Garden Guangdong oleh Presidennya, Liu Huijian.

Yang turut hadir menyaksikan majlis menandatangani MoU itu ialah Ketua Sektor Pendidikan Swasta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Norbiha Buang; Pengerusi Universiti Kolej Southern, Datuk Tan Meng Seng dan timbalannya, Mok Chek Hua.

Sementara itu, Aeron berkata kerjasama itu membolehkan kedua-dua institusi pendidikan terbabit berkongsi idea dan menerokai bidang baharu dalam bidang akademik dan kurikulum.

Beliau berkata, melalui kerjasama pintar itu juga kedua-dua institusi pendidikan terbabit dapat melaksanakan pertukaran pelajar dan pensyarah bagi beberapa program yang dikenal pasti seperti pengurusan hotel dan program pra-universiti.

Selain itu, katanya, kedua-dua pihak juga boleh menjalankan kerjasama penyelidikan, forum dan program berkembar serta bertukar maklumat dalam bidang penyelidikan masing-masing.

"Pelajar yang menamatkan pengajian di kedua-dua institusi pendidikan ini akan menjalani latihan amali di Forest City untuk tempoh setahun sebelum diserapkan ke CGPV sebagai pekerja tetap," katanya.

Berita Harian X