Jumaat, 19 Januari 2018 | 4:17pm
Penolong Setiausaha Kerajaan (Pelancongan dan Kebudayaan, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu), Wan Mohd Firdaus Wan Sembak melayan pengunjung yang hadir pada Festival Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) 2018 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad
Penolong Setiausaha Kerajaan (Pelancongan dan Kebudayaan, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu), Wan Mohd Firdaus Wan Sembak melayan pengunjung yang hadir pada Festival Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) 2018 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

Candat sotong aktiviti wajib di Terengganu

KUALA LUMPUR: Kerajaan Terengganu agresif mempromosikan negeri itu melalui penganjuran pelbagai aktiviti menarik yang diselitkan dalam kalendar kempen Beautiful Terengganu pada tahun ini.

Paling menggamit tumpuan adalah program mencandat sotong yang boleh dikatakan aktiviti wajib dilakukan pelancong yang berkunjung ke negeri itu.

Penolong Setiausaha Kerajaan (Pelancongan dan Kebudayaan, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu), Wan Mohd Firdaus Wan Sembak, berkata mereka yang berhasrat menyertai aktiviti itu boleh mula membuat tempahan yang dibuka sehingga Mac ini.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan hotel di Terengganu bagi memudahkan tempahan dibuat melalui pakej ditawarkan.

"Pesta mencandat sotong akan bermula bulan April sehingga Oktober. Mereka yang berminat, boleh membuat tempahan sekarang dan pakej berkenaan berserta dengan kenderaan bagi memudahkan pergerakan ke lokasi," katanya ketika ditemui di reruai Beautiful Terengganu di Festival Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) 2018 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mohd berkata, setiap bulan sepanjang tahun ini menyaksikan pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pelancong berkunjung ke Terengganu, bagi merancakkan industri pelancongannya.

Beliau berkata, kebanyakan pelancong mengenali Terengganu melalui produk pelancongan seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Kapas.

Bagaimanapun, katanya, selain Terengganu terkenal dengan kecantikan pulaunya, kerajaan negeri cuba 'menstabilkan' persepsi orang ramai bahawa negeri itu juga memiliki banyak tempat menarik dengan tawaran aktiviti memikat pelancong.

"Antara aktiviti bakal berlangsung pada tahun ini adalah Sounds of Terengganu, Pesta Air Terengganu, Setiu Wetlands Festival, Terengganu Bike Week, Duyong Art Festival, Karnival Makanan Terengganu, Mazu Festival, Pesta Pantai Terengganu, Festival Kenyir, Pesta Tanglung Peranakan, Moments of Unity dan macam-macam lagi," katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.beautifulterengganu.com atau Facebook (Visit Beautiful Terengganu), Twitter dan Instagram (Beautiful Terengganu).

INFO

Setakat Oktober 2017 - hampir 4.1 juta pelancong melawat Terengganu

Berita Harian X