Ahad, 21 Januari 2018 | 3:14pm
SHAHRIR (dua kiri) dan Tiong Lai (kiri) bersama penduduk FELDA Lurah Bilut pada perasmian Hari Keluarga FELDA Lurah Bilut di Padang Awam FELDA Lurah Bilut. - Foto Nazirul Roselan

FELDA 2.0 untuk komuniti peneroka pintar, mapan

BENTONG: Inisiatif FELDA 2.0 memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan komuniti peneroka yang pintar dan mapan dalam semua aspek.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad, berkata ia adalah usaha berterusan FELDA bagi menaik taraf aspek ekonomi, alam sekitar, pendidikan, teknologi dan kesihatan di setiap daripada 317 tanah rancangannya di seluruh negara.

Beliau berkata, ia juga adalah ledakan transformasi luar bandar yang FELDA mahu laksanakan untuk generasi muda peneroka.

Katanya, pelancaran inisiatif FELDA 2.0 akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 4 Februari ini di FELDA Lurah Bilut, di sini.

"Kita lancarkan FELDA 2.0 di FELDA Lurah Bilut yang juga tanah rancangan pertama dan percubaan pertama kerajaan bagi pembangunan modal insan 60 tahun lalu dan ia tidak pernah dibuat oleh mana-mana negeri di dunia.

"Jadinya, kita mengambil semangat masyarakat peneroka sejak dahulu hingga sekarang untuk mengadakan inisiatif FELDA 2.0 untuk mewujudkan komuniti yang lebih berdaya tahan, mapan dan pintar.

"Oleh demikian kita perlukan sokongan semua pihak bukan sahaja daripada generasi peneroka sendiri tetapi juga kerajaan negeri, jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), korporat dan swasta serta pemimpin peneroka untuk menjayakan inisiatif ini.

"Sebagai permulaan tiga FELDA termasuk FELDA Lurah Bilut akan dipilih bagi tahun ini untuk melaksanakan inisiatif FELDA 2.0. Setiap tahun kita akan memilih tiga tanah rancangan bagi tujuan berkenaan membabitkan geran berjumlah RM30 juta setahun," katanya selepas merasmikan Hari Keluarga FELDA Lurah Bilut 2018, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Bentong yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Pengarah Besar FELDA, Datuk Abdul Ghani Mohd Ali; Pengurus FELDA Lurah Bilut, Mohd Khairul Nizam Alias.

Lebih 1,000 warga FELDA Lurah Bilut memeriahkan Hari Keluarga yang julung kali diadakan di tanah rancangan tertua di negara yang dibuka pada tahun 1958.

Antara acara yang diadakan ialah pertandingan futsal, sukan rakyat, gotong royong kenduri kampung dan cabutan bertuah.

Selain itu, Shahrir turut menyampaikan hamper kepada sembilan generasi pertama FELDA Lurah Bilut.

Selain itu, beliau berkata, kira-kira 6,000 penduduk FELDA Lurah Bilut, di sini, bakal menikmati taraf kehidupan sama seperti di bandar menerusi pelaksanaan projek Lembah Digital Bilut.

"Kita sasarkan dalam masa beberapa tahun ia bukan sahaja membolehkan penduduk menggunakan internet berkelajuan tinggi, malah membuka peluang ekonomi, khususnya dalam aspek usahawan digital, pertanian moden dan eko-pelancongan kepada penduduk setempat," katanya.

Info

# FELDA Lurah Bilut dipilih lokasi perintis FELDA 2.0 kerana ia tanah rancangan pertama dibangunkan pada 1958 oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

#Lokasi FELDA Lurah Bilut juga strategik dengan tempoh perjalanan kira-kira sejam dari ibu negara, selain 16 kilometer dari bandar Bentong yang akan menjadi sebahagian lokasi stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

957 dibaca
Berita Harian X