Selasa, 23 Januari 2018 | 10:07am

RM124 sebulan sewa PPR pertama di Labuan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang pertama di wilayah Labuan akan disewa pada kadar serendah RM124 sebulan.

Perdana Menteri menerusi Twitter rasmi @NajibRazak berkata, projek di Batu Arang itu akan membabitkan pembinaan 500 unit kediaman.

Isu perumahan mampu milik adalah antara fokus utama Najib sejak beliau memegang jawatan Perdana Menteri pada tahun 2009.

 

Najib sebelum ini mengumumkan pembinaan 500 unit PPR bernilai RM107.7 juta di Batu Arang pada majlis Kerangka Pembangunan Labuan 2030 (LDB2030), baru-baru ini.

Pada majlis sama, Najib turut mengumumkan sebanyak 160 unit rumah teres setingkat dari RM190,000 seunit dibina di Batu Arang menerusi Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang dibangunkan dengan nilai subsidi kepada penjawat awam kira-kira RM3 juta.

Beliau berkata, apa yang dilakukan menerusi peruntukkan dana adalah bagi merealisasikan aspirasi rakyat merangkumi segenap lapisan masyarakat.

Katanya, dalam Bajet 2018, sebanyak RM2.2 bilion diperuntukkan bagi meneruskan usaha menyediakan perumahan untuk semua.

 

Bagi golongan berpendapatan rendah atau B40, kerajaan melaksanakan, antaranya; Program Perumahan Rakyat yang disewakan atau dijual pada harga amat rendah antara RM35,000 hingga RM42,000, dengan kos selebihnya dibiayai subsidi kerajaan.

Terdapat juga Rumah Idaman Rakyat yang dibina atas tanah kurniaan kerajaan negeri atau Persekutuan pada harga tidak melebihi RM350,000 dengan jualan diutamakan kepada pembeli Orang Kelainan Upaya (OKU) atau ibu tunggal.

Bagi golongan berpendapatan 40 peratus sederhana atau M40, kerajaan menyediakan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dibina di kawasan strategik di seluruh negara dan dijual pada harga antara RM100,000 hingga RM400,000.

Terdapat juga Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) berharga RM63,000 hingga RM300,000 yang menyasarkan rakyat Malaysia yang menetap atau bekerja di Wilayah Persekutuan yang ingin membeli rumah pertama mereka.

Bagi penjawat awam, Perdana Menteri berkata, kerajaan melaksanakan Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

"PPA1M disediakan terutamanya buat penjawat awam berpendapatan rendah dan sederhana yang dijual pada harga antara RM90,000 hingga RM300,000 seunit," katanya.

 

Kerajaan juga memperkenalkan pelbagai skim antaranya Skim Rumah Pertamaku yang dilaksanakan bagi membantu golongan muda baru bekerja dengan pendapatan kurang RM5,000 untuk mendapat pembiayaan 100 peratus.

 

Kerajaan juga memperkenalkan skim MyDeposit, yang mana kerajaan membantu golongan yang ingin membeli rumah tetapi tidak mempunyai wang pendahuluan, dengan membayar deposit itu bersamaan 10 peratus daripada nilai rumah di bawah RM500,000 atau hingga jumlah maksimum RM30,000.

PERDANA Menteri menerusi Twitter rasmi @NajibRazak.
PERDANA Menteri menerusi Twitter rasmi @NajibRazak.
Berita Harian X