Selasa, 23 Januari 2018 | 7:06pm
Pengerusi Alumni Program Khas Haji Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah semasa mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas sempena Majlis Penyerahan Surat Tawaran Haji bagi Program Khas Haji Perdana Menteri Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Bangunan Putra Perdana. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Peserta program khas haji berlepas awal

PUTRAJAYA: Seramai 1,200 peserta Program Khas Haji Perdana Menteri akan berangkat ke Makkah awal Julai ini.

Pengerusi Alumni program terbabit, Datuk Jailani Ngah, berkata kumpulan berkenaan yang terdiri daripada imam, bilal, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta wakil badan bukan kerajaan (NGO), akan berlepas bermula dengan penerbangan kedua dari Kuala Lumpur.

"Surat tawaran program akan diserahkan kepada peserta pada 2 Februari ini, berbanding sebelum ini di mana peserta berangkat melalui penerbangan pertengahan, tahun ini mereka dapat berangkat dengan penerbangan awal kerana surat tawaran diserahkan lebih awal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas sempena Majlis Penyerahan Surat Tawaran Haji di Perdana Putra di sini, hari ini.

Jailani berkata, selepas tujuh tahun dilaksanakan, beliau menjangkakan kira-kira separuh lagi golongan yang disasarkan itu belum menunaikan haji atas beberapa faktor termasuk kurang berkemampuan dan komitmen kerja.

"Ada juga yang sudah mendaftar haji tapi hanya dapat pergi selepas usia 98 tahun. Jadi, program ini akan membantu golongan seperti imam dan Pengerusi JKKK menunaikan haji.

"Pada tahun ini, skop peserta program yang ditaja sepenuhnya Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ini turut diperluaskan kepada ahli Majlis Guru Besar dan Majlis Pengetua, Majlis Agama Islam serta pesara kerajaan.

"Sehingga tahun lalu, seramai 5,700 orang sudah menunaikan haji melalui program berkenaan," katanya.

Berita Harian X