Rabu, 24 Januari 2018 | 2:23pm
MARYAM Insyirah, dua bulan, kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Gleneagles, dikesan menghidap masalah jantung berlubang jenis VSD (Ventricular Septal Defect) selepas lima hari dilahirkan.- Foto Halim Salleh

Maryam perlu RM50,000 bedah jantung berlubang

KUALA LUMPUR: Keluarga seorang bayi perempuan dari Dungun, Terengganu, memerlukan dana RM50,000 untuk menampung kos pembedahan jantung berlubang yang dihidapinya sejak lahir.

Maryam Insyirah Muhammad Muizzuddin, dua bulan, kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Gleneagles, dikesan menghidap masalah jantung berlubang jenis VSD (Ventricular Septal Defect) selepas lima hari dilahirkan.

Ibunya, Siti Hajar Mazait, 25, berkata terdapat dua lubang, masing-masing sebesar empat milimeter (mm) dan enam mm pada jantung anak sulungnya itu, yang perlu ditampal.

"Akibat terdapat dua lubang, pernafasannya terganggu dan dia tercungap-cungap. Sejak dilahirkan Maryam terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan hingga kini,

"Menurut doktor, pembedahan menampal lubang terbabit perlu disegerakan kerana dalam usia bayi, Maryam terdedah dengan jangkitan kuman." katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Siti Hajar berkata, akibat komplikasi itu, kesihatan dan berat badan anaknya jadi tidak menentu selain mudah dijangkiti demam.

Katanya, biarpun masih menggunakan bantuan alat pernafasan, namun keadaan Maryam stabil dan aktif.

"Saya dan suami amat berharap pembedahan dapat dilakukan segera, agar Maryam cepat sembuh dan membesar secara normal seperti kanak-kanak lain," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Maybank 514105323170) atau melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

 

Cek boleh dihantar ke Jabatan Kumpulan Komunikasi Korporat Media Prima, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-27148977.

Berita Harian X