Rabu, 24 Januari 2018 | 5:50pm
PENGARAH Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Pemindahan penumpang percuma antara KLIA, klia2

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan memperkenalkan perkhidmatan pemindahan penumpang secara percuma antara terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2, tidak lama lagi.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali, berkata perkhidmatan menggunakan bas itu adalah sebahagian usaha syarikat dalam meningkatkan pengalaman lapangan terbang menyeluruh (TAE).

Beliau berkata, semua penumpang boleh mendaftar di kaunter terminal ketika ketibaan mereka untuk mendapatkan perkhidmatan berkenaan.

"Sebelum ini, penumpang mempunyai pilihan sama ada menggunakan tren atau teksi untuk pemindahan dari satu terminal ke terminal lain," katanya pada Hari Media Mitsui Outlet Park KLIA di sini.

Katanya, usaha itu juga adalah langkah MAHB untuk menggalakkan pertumbuhan rakan syarikat penerbangannya yang mahu meningkatkan jumlah penumpang pindahan masing-masing.

"Sejak pembukaan klia2, pemindahan di antara KLIA dan klia2 meningkat tiga kali ganda daripada anggaran asal 2015 sebanyak 0.5 juta kepada 1.5 juta," katanya.

Badlisham berkata, pengendali lapangan terbang itu kini merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan daftar masuk di kawasan bangunan terminal yang dikawal.

"Pelan awal ini bertujuan membolehkan penumpang tempatan yang mengambil penerbangan domestik berlepas ke destinasi antarabangsa lain tanpa melakukan daftar keluar bagasi mereka di terminal pertama," katanya.

Beliau berkata, MAHB akan mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan lain tidak lama lagi bagi menilai mekanisme berkaitan termasuk kos dan liabiliti yang mungkin berlaku dalam penyediaan perkhidmatan itu. - BERNAMA

Berita Harian X