Khamis, 25 Januari 2018 | 4:57pm
TIMBALAN Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Roslan Ariffin(enam kiri) bersama Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar Ibu Pejabat, Rohimah Ayub (tiga kanan) bergambar bersama peserta di majlis Sesi Taklimat dan Dialog Berkaitan Perintah Kualiti Alam Sekeliling di Jabatan Perhutanan Negeri Perak. - Foto L Manimaran 

Mohon permit sebelum masuk hutan

IPOH: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia mengingatkan penggemar sukan lasak, sama ada pendaki atau berkenderaan agar mendapatkan nasihat serta permit pihaknya sebelum memasuki mana-mana kawasan hutan simpan di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Roslan Ariffin, berkata hampir semua kawasan hutan yang menjadi tumpuan penggemar sukan lasak di Semenanjung adalah jenis `hutan tertutup' atau hutan simpan yang memerlukan permit untuk masuk.

Katanya, aliran terkini menyaksikan penduduk bandar gemar memasuki kawasan hutan, sama ada menerusi aktiviti pendakian, pacuan empat roda dan motosikal lasak, tanpa memaklumkan kegiatan mereka kepada pihak berkuasa.

"Tidak sukar untuk mohon permit, bukan mahal pun sekitar RM30 dan ada negeri hanya mengenakan RM10 seorang. Jika tiada permit, apa-apa berlaku terhadap mereka bukan sahaja tidak dilindungi insurans, malah menyukarkan bantuan menyelamat," katanya.

Beliau bercakap demikian pada sidang media selepas merasmikan Sesi Taklimat dan Dialog Berkaitan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Rohimah Ayub.

Roslan berkata, mereka yang gagal memohon permit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984, membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.

Katanya, jabatan berkenaan tidak berniat untuk bertindak tegas atau menghalang mana-mana penggemar sukan lasak memasuki hutan simpan yang mempunyai 27 gunung boleh didaki, sebaliknya ia demi keselamatan mereka.

"Kami meminta kerjasama mereka, dapatkan kebenaran dahulu. Jika hujan, dinasihatkan tidak masuk hutan terutama dengan kenderaan seperti pacuan empat roda dan motosikal lasak.

"Memanglah seronok tetapi kami yang menghadapi masalah untuk membersihkannya (selepas laluan rosak)," katanya.

Roslan berkata, beliau aduan penduduk Orang Asli di Pos Kemar, Gerik, memaklumkan laluan keluar masuk ke penempatan itu tidak boleh digunakan untuk membawa keluar hasil hutan seperti durian kerana rosak berikutan aktiviti pacuan empat roda di situ.

Mengenai kebenaran untuk pegawai Jabatan Perhutanan memiliki senjata api, Roslan berkata, senjata api sudah pun digunakan di negeri yang mendapat kelulusan.

"Pengarah dan pegawai memiliki pistol, manakala anggota lain memiliki senapang patah. Setakat ini, hanya pegawai di Perlis, Melaka dan Wilayah Persekutuan yang tidak memiliki senjata api.

"Bagaimanapun, Perlis dalam proses menunggu kelulusan permohonan kepada pihak berkuasa," katanya.

Mengenai laporan New Straits Times hari ini yang mendedahkan maklumat Angkatan Pertahanan Awam (APM) mendakwa sebahagian besar penceroboh hutan simpan dan pembalak haram terdiri warga asing, Roslan berkata, ia biasanya membabitkan tanah bernilai tinggi seperti Cameron Highlands.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa berusaha menjaga kawasan hutan simpan daripada diceroboh tetapi menghadapi masalah kekangan anggota dan pegawai penguat kuasa.

"Paling penting ialah bantuan agensi lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau penduduk kampung untuk sama-sama menangani masalah ini dengan menjadi `mata dan telinga' jabatan terhadap sebarang pencerobohan," katanya.

Berita Harian X