Khamis, 25 Januari 2018 | 6:10pm
AHLI Dewan Negeri Selangor Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
AHLI Dewan Negeri Selangor Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

ADUN PKR nafi ada rasuah lombong pasir haram

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar menafikan berlaku kegiatan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan aktiviti perlombongan pasir haram di Selangor.

Berikutan itu, beliau mahu pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, menarik balik dakwaan itu sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan mahkamah.

"Sekarang, biarlah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan beliau tetapi sekiranya tidak ada apa yang didakwanya itu, saya tidak teragak-agak menyaman beliau," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pagi tadi, Badrul Hisham yang dikenali sebagai Chegu Bard menyerahkan memorandum setebal 300 muka surat kepada SPRM berkenaan tindakan beberapa pemimpin PKR melakukan penipuan, rasuah dan salah guna kuasa bagi mendapatkan tender melombong pasir di Selangor.

Beliau turut menyebut nama pemimpin yang terbabit termasuk individu yang rapat dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang didakwa memungut wang komisyen lebih RM500,000.

Dakwanya, pemimpin PKR melakukan penipuan, rasuah dan salah guna kuasa bagi mendapatkan tender melombong pasir di Selangor dan antara nama yang disebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda mewakili PKR, Shuhaimi Shafiei dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang (PKR), Azmizam Zaman Huri.

Badrul Hisham mendakwa, ahli politik PKR terbabit menipu orang ramai menggunakan syarikat milik kerajaan negeri yang berdaftar sebagai Semesta PLT untuk meluluskan projek perlombongan pasir, malah katanya ratusan ribu ringgit sudah dibayar tetapi sehingga kini projek berkenaan tidak wujud.

Dakwanya, wang rasuah berkenaan digunakan untuk membiaya kos kempen pilihan raya negeri Sarawak termasuk bagi membawa kakitangan PKR ke Sarawak ketika itu.

Sementara itu, Azmizam ketika dihubungi, berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas berbincang dengan peguamnya dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan kenyataan daripada Mat Shuhaimi yang juga Setiausaha Politik kepada Azmin gagal apabila beliau tidak menjawab panggilan telefon dan pesanan menerusi aplikasi WhatsApp.

Berita Harian X