Sabtu, 27 Januari 2018 | 5:53pm
ANNUAR (tengah) menyertai acara jualan sempena Program Jualan Istimewa Pusat Khidmat Amal dan Aktiviti Masyarakat Ketereh (KHADAM) di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat, Kota Bharu. - Foto Nor Amalina Alias

Annuar Musa jadi jurulelong

KOTA BHARU: Kira-kira 10,000 rakyat mengambil peluang membeli barangan dapur sempena jualan murah di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), hari ini.

Jualan berlangsung seawal jam 8 pagi disertai 10 pemborong dan pengusaha membabitkan lebih 30 barangan seperti daging lembu, ayam, sayuran, bawang, milo, minuman botol dan minyak serta gula yang dijual dengan harga 10 peratus lebih murah.

Acara jualan itu menarik perhatian ramai apabila Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sendiri menjadi tukang lelong dengan menjual barangan harian dengan rakyat berebut-rebut mahu membeli dengan pemimpin mereka.

Annuar berkata, program itu tanda keprihatinan kerajaan dalam memahami kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.

Katanya, program berkenaan akan diteruskan setiap Jumaat minggu kedua, ketiga dan keempat dengan tiga lokasi berbeza iaitu di YKK, Dataran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Kok Lanas dan Dataran Guchil, Kadok Dalam.

"Kita juga akan tambah baik program jualan ini dengan lebih banyak barangan selain membuka peluang kepada pengusaha tempatan untuk sertai jualan dengan syarat mereka sanggup turunkan harga dengan lebih murah," katanya.

ANNUAR (dua dari kanan) menyertai acara jualan sempena Program Jualan Istimewa Pusat Khidmat Amal dan Aktiviti Masyarakat Ketereh (KHADAM) di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat, Kota Bharu. - Foto Nor Amalina Alias

Pengunjung, Sariah Yahya, 60, berkata, dia teruja dapat membeli barangan dapur dengan harga jauh lebih murah.

Katanya, melalui jualan hari ini dia dapat menjimatkan wang antara RM100 ke RM200 dengan membeli daging lembu, ayam, telur, bawang dan pelbagai barangan dapur bagi keperluan mereka lima beranak yang tinggal di Kampung Padang Mokkan, Melor.

"Alhamdulillah saya sangat gembira dapat membeli banyak barangan dapur dan terus membeli untuk stok sebulan.

"Saya berharap jualan seperti ini diteruskan untuk masa akan datang kerana sudah pasti ia dinanti-nantikan rakyat," katanya ketika ditemui dalam Program Jualan Istimewa Pusat Khidmat Amal dan Aktiviti Masyarakat Ketereh (KHADAM) Bantu Rakyat di YKK, di sini, hari ini.

Kang Eng Siew, 55, berkata biasanya dia akan berbelanja di pasar Ketereh atau pasar tani bagi mendapatkan harga barangan harian lebih murah dan segar namun dalam program itu harganya jauh lebih murah.

Katanya, harga jauh berbeza berbanding harga pasaran membuatkan dia enggan melepaskan peluang memborong daging, ayam dan sayuran.

"Program sebegini dapat ringankan kos perbelanjaan rakyat, patut diteruskan kalau buat setiap minggu lagi bagus," katanya daripada Kampung Tokong.

Berita Harian X