Sabtu, 27 Januari 2018 | 6:51pm
MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar meninjau keadaan tanah runtuh di Kampung Pasir Parit, Pasir Mas, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar meninjau keadaan tanah runtuh di Kampung Pasir Parit, Pasir Mas, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar meninjau keadaan tanah runtuh di Kampung Pasir Parit, Pasir Mas, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Pusat tangani hakisan tanah Sungai Kelantan

PASIR MAS: Kerajaan Pusat memberi jaminan akan menyelesaikan masalah hakisan tanah dan runtuhan tebing Sungai Kelantan, yang membimbangkan penduduk di Kampung Pasir Parit, Chetok, di sini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kawasan terbabit adalah sebahagian daripada Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu, bernilai RM572 juta, yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, esok.

Katanya, melihat kepada keadaan hakisan yang semakin teruk dan menjadi seperti sebuah pulau, pihaknya akan mengambil tindakan drastik, selain menambah kos membaik pulih bagi menutup terusan air yang boleh memudaratkan kawasan itu.

"Jabatan dan Pengairan Saliran (JPS) Kelantan bekerjasama dengan Kemajuan Lembaga Pertanian Kemubu (KADA) bagi menyelesaikan masalah ini.

"Antara tindakan awal adalah menutup kawasan terjahan arus yang membentuk alur selebar 60 meter, menggunakan penanaman penghadang 'sheet pile'.

"Kita turut mendapatkan sumbangan daripada Kementerian Kewangan bagi membantu menyelesaikan masalah ini yang pasti membimbangkan penduduk setempat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau keadaan tanah runtuh di Kampung Pasir Parit, di sini, hari ini.

Yang turut hadir dalam sesi lawatan itu, Pengerusi KADA, Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, beliau akan membincangkan masalah berkenaan dengan Perdana Menteri supaya ia dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Saya nasihatkan penduduk setempat supaya tidak bimbang kerana kerajaan akan membantu, termasuk mengukuhkan lagi benteng di tebing sungai itu.

"Malah, kerajaan akan membincangkan ganti rugi yang dihadapi pemilik tanah selepas seluas 6.04 hektar tanah runtuh akibat hakisan ini," katanya.

Berita Harian X