Sabtu, 27 Januari 2018 | 7:24pm
SETIAUSAHA Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) , Harry Tan Huat Hock.

Ibu bapa jangan tunjuk `hebat'

KUALA LUMPUR: Ibu bapa dan penjaga murid tidak sepatutnya bertindak melulu dan tergesa-gesa merujuk sebarang kes membabitkan guru kepada polis tanpa terlebih dulu mendapatkan kepastian pihak sekolah.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) , Harry Tan Huat Hock, berkata tindakan membuat laporan polis bukan penyelesaian terhadap masalah yang berlaku antara murid dan guru terbabit.

Katanya, ibu bapa dan penjaga perlu membuang sikap seolah-olah mahu menunjukkan kehebatan sendiri dengan mengabaikan terus pihak sekolah dalam mengambil sebarang tindakan.

"Sepatutnya, ibu bapa kena jumpa dulu dengan pihak pengurusan sekolah untuk mendapatkan pandangan dan gambaran mengenai kejadian sebenar yang menimpa anak mereka.

"Bukan melulu membuat laporan polis, lebih-lebih lagi isu pertelingkahan dengan guru tertentu itu hanya membabitkan kes disiplin kecil.

"Ini kerana setiap tindakan undang-undang memberi kesan terhadap masa depan guru, termasuk kemungkinan digantung tugas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, hari ini, bahawa hampir setiap minggu, ada ibu bapa yang membuat laporan polis dan menggunakan peguam terhadap guru, dengan kebanyakannya hanya membabitkan isu kecil dan remeh.

Huat Hock turut tidak menolak kemungkinan ada ibu bapa yang mengambil kesempatan membuat laporan polis serta mendapatkan khidmat peguam untuk kepentingan sendiri.

Katanya, ia seolah-olah ibu bapa itu mahu mengaut keuntungan menerusi peguam yang mewakili mereka, namun memberi alasan kononnya untuk mendapatkan keadilan.

"Saya rasa zaman sekarang seperti tiada lagi budaya ketimuran dalam masyarakat kita. Kesalahan kecil saja, tapi diperbesarkan.

"Kadang-kadang, masalah boleh diselesaikan menerusi rundingan antara guru, pihak sekolah dan ibu bapa, tapi kerana sikap ego, mereka enggan.

"Ibu bapa ambil peguam dan saman Kementerian Pendidikan, kononnya atas kesilapan guru tertentu itu.

"Inilah budaya sekarang yang tidak sepatutnya berlaku di negara ini," katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, NUTP sedang memperkenalkan Kod Etika Ibu Bapa/ Penjaga sebagai panduan kepada kumpulan itu untuk lebih bertanggungjawab terhadap persekitaran sekolah.

Katanya, kod etika itu yang dibentuk hasil penelitian dan idea pelbagai pihak, termasuk polis, ibu bapa, pakar pendidikan dan aktivis masyarakat, dijangka dibentangkan kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, dalam masa terdekat.

Berita Harian X