Ahad, 28 Januari 2018 | 5:29pm
PENGERUSI Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail. - Foto fail NSTP/Muhammad Sulaiman
PENGERUSI Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail. - Foto fail NSTP/Muhammad Sulaiman

'EU mendiskriminasi produk Asia'

KUALA LUMPUR: Malaysia wajar berpakat dengan negara pengeluar kelapa sawit seperti Indonesia dan Thailand untuk memulaukan dagangan dengan negara Kesatuan Eropah (EU) yang mengecualikan import minyak sawit menjelang 2021.

Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail, berkata tindakan EU itu tidak adil dan bersifat diskriminasi terhadap produk Asia ketika ia cuba mempromosikan produk sendiri.

Katanya, tindakan EU memboikot import minyak sawit menjelang 2021 akan menjejaskan kehidupan lebih sejuta peneroka, pekebun sawit, generasi kedua Felda dan industri keseluruhannya.

"Kita ada banyak dagangan bilateral dengan EU dari segi pembelian jentera, peralatan perang dan sebagainya.

"Jika mereka boikot minyak kelapa sawit, Malaysia juga perlu ambil tindakan sama dan saya menyokong penuh keputusan kerajaan mengkaji semula hubungan dagang dengan EU.

"Dulu kita bercakap soal perdagangan bebas merangkumi minyak sawit, soya atau jagung. Kalau nak promosi produk sendiri, jangan membelakangi produk Asia (minyak sawit)," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Rozali mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa kerajaan akan mengkaji semula dagangan dengan EU susulan tindakan boikot blok itu ke atas minyak kelapa sawit.

Kajian semula itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu.

Parlimen Eropah pada April lalu meluluskan resolusi yang mensyaratkan hanya minyak sawit dihasilkan secara lestari boleh diimport ke pasaran EU selepas 2020, tindakan yang disifatkan diskriminasi produk Asia.

Eksport produk berasaskan komoditi di Malaysia berjumlah RM129.1 bilion atau 15.1 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara bagi tempoh Januari hingga November 2017.

Daripada jumlah itu, sejumlah 55.4 peratus atau RM71.5 bilion disumbangkan sektor sawit.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X