Selasa, 30 Januari 2018 | 4:41pm
DATUK Mohd Amar Nik Abdullah.- Foto Nik Abdullah Nik omar
DATUK Mohd Amar Nik Abdullah.- Foto Nik Abdullah Nik omar

RUU355 tingkat kedudukan Mahkamah Syariah - Mohd Amar

KOTA BHARU: Usul pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) yang dibawa PAS sebelum ini, antara lain dapat meletakkan kedudukan Mahkamah Syariah setaraf dengan Mahkamah Sivil.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata, ia sekali gus membolehkan isu penukaran agama yang diputuskan Mahkamah Syariah tidak boleh dipertikaikan atau ditentang.

Sambil menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang memutuskan penukaran agama tiga anak guru Tadika, M Indira Gandhi, hampir 10 tahun lalu kepada agama Islam terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang, beliau berkata, pihaknya bagaimanapun amat sedih kerana ia menjejaskan kepentingan agama serta umat Islam itu sendiri.

"Sebab itu kita desak sejak dulu lagi kedudukan Mahkamah Syariah perlu ditingkatkan dan antara usaha yang kita lakukan melalui RUU 355. Orang tidak nampak usaha yang kita perjuangkan kerana mereka hanya melihat dari sudut politik.

"Sepatutnya sudah lama kuasa Mahkamah Syariah dipertingkatkan melebihi Mahkamah Sivil memandangkan Malaysia negara Islam, namun bukan saja kuasa tidak sama tinggi, sebaliknya Mahkamah Syariah di negara ini lebih rendah berbanding Mahkamah Sivil," katanya di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan penukaran agama tiga anak Indira hampir 10 tahun lalu kepada agama Islam terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir dibuat Indira berhubung kesahihan penukaran agama tiga anaknya, iaitu Tevin Darsiny, 21; Karan Dinish, 20 dan Prasana Diksa, 9, kepada Islam.

Dalam penghakiman 99 muka surat dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, Mahkamah Persekutuan memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan Pendaftar Mualaf.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X