Rabu, 31 Januari 2018 | 3:10pm
M Indira Gandhi (tengah) hadir di sidang media mengenai anaknya yang masih bersama bekas suami, Muhammad Ridhuan Abdullah di perkarangan Kuil Sri Subramaniyar, Ipoh sempena perayaan Thaipusam. - Foto Abdullah Yusof

Thaipusam tak sempurna tanpa Prasana - Indira Gandhi

IPOH: "Bekas suami saya bukan seorang pengganas, kenapa susah sangat hendak cari dia." Persoalan itu disuarakan guru Tadika, M Indira Gandhi berikutan usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih gagal menjejaki bekas suaminya yang juga mualaf, Muhammad Ridhuan Abdullah, 48, dan anak bongsu mereka, Prasana Diksa, 9.

Muhammad Ridhuan didakwa gagal menyerahkan Prasana Diksa kepada Indira seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014.

Pencarian Prasana Diksa kembali menjadi tumpuan selepas Mahkamah Persekutuan kelmarin membuat keputusan penukaran agama tiga anak Indira hampir 10 tahun lalu kepada Islam, adalah terbatal dan tidak sah mengikut undang-undang.

Selain Prasana Diksa, dua lagi anak mereka ialah Tevin Darsiny, 21, dan Karan Dinish, 20.

Indira berkata, beliau tidak pernah berputus asa dan berdoa supaya dipertemukan dengan anak bongsunya itu.

"Sambutan Thaipusam tahun ini memberi sedikit keistimewaan kepada saya dan keluarga kerana selepas perjuangan saya selama sembilan tahun, akhirnya keputusan (mahkamah) berpihak kepada saya.

"Bagaimanapun, ia tetap tidak sempurna selagi saya tidak bertemu Prasana," katanya ditemui di Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh, di sini, sempena sambutan Hari Thaipusam hari ini.

Turut menemaninya di kuil berkenaan, Tevin Darsiny dan ibunya, S Renggamah, 75.

Indira berkata, dalam kemeriahan penganut agama Hindu menyambut perayaan itu, dia bagaimanapun kesal kerana pihak polis tidak menghubungi dan memaklumkan perkembangan dalam usaha mengesan Muhammad Ridhuan.

"Mereka memaklumkan siasatan dan usaha menjejaki bekas suami masih diteruskan, namun sudah bertahun lamanya, dia masih gagal dikesan," katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, polis percaya Muhammad Ridhuan masih ada dalam negara berdasarkan semakan Jabatan Imigresen.

Beliau yang mengesahkan polis belum ada petunjuk kedudukan lelaki itu turut meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil menyalurkan maklumat.

Berita Harian X