Rabu, 31 Januari 2018 | 3:41pm
PEMANDANGAN bulan purnama hampir penuh iaitu 98 peratus yang dirakam di kawasan lapang Bandar Baru Samariang, Petra Jaya malam tadi. - Foto BERNAMA

Jangan khurafatkan 'Super Blue Blood Moon' - Mufti

KUALA LUMPUR: Umat Islam digalakkan mendirikan solat sunat Khusuf secara berjemaah tepat pada waktu berlaku gerhana bulan malam ini sebagai tanda mensyukuri kekuasaan Allah SWT.

 

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata mereka di Semenanjung boleh mendirikan solat sunat Khusuf ketika gerhana bulan penuh (Super Blue Blood Moon) untuk tempoh 4 jam 48 minit yang bermula pada jam 7.20 malam dan dijangka tamat pada 12.08 tengah malam.

  

Beliau berkata, bagi kawasan sekitar Labuan, Sabah dan Sarawak, waktu kelihatan gerhana bulan penuh lebih panjang iaitu selama 5 jam 28 minit bermula pada jam 6.50 petang dan tamat pada jam 12.08 tengah malam.

 

"Umat Islam disunatkan mendirikan solat sunat Khusuf dua rakaat dengan bacaan surah panjang ketika berlaku gerhana bulan penuh (bermula bayang-bayang penumbra), bukannya sebelum atau selepas tamat gerhana bulan penuh malam ini.

 

"Disunatkan selepas itu, dibacakan khutbah untuk memberi peringatan kepada jemaah mengenai fenomena yang menjadi tanda kekuasaan Allah SWT, pencipta sekalian alam.

 

"Orang ramai dilarang mengadakan perbuatan khurafat termasuk mengaitkan fenomena gerhana bulan penuh dengan perbuatan malang yang boleh memberi kesan kepada kematian dan kehidupan seseorang individu," katanya ketika dihubungi, di sini.

 

Beliau mengulas tiga fenomena ke atas bulan yang berlaku serentak iaitu 'Super Blue Blood Moon' atau 'Gerhana Supermoon' yang kali terakhir berlaku pada 31 Mac 1866, iaitu 152 tahun lalu.

 

Fenomena itu hanya dapat dilihat oleh 50 peratus penduduk dunia (yang mengalami waktu malam ketika kejadian supermoon berlaku) sahaja kerana penduduk di separuh lagi hemisfera bumi berada dalam waktu siang dan tidak boleh menyaksikan gerhana bulan penuh berwarna merah.

 

 

 

Selain Malaysia, negara lain yang bertuah menyaksikan fenomena luar biasa itu adalah Timur Eropah, Timur Afrika, Asia, Australia dan Amerika Utara. 

 

Gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris dan keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra bumi. 

 

Bulan dengan perlahan-lahan bertukar daripada warna putih mutiara kepada warna kemerahan dan kemudiannya kembali ke warna aslinya sepanjang tempoh lima jam.

Zulkifli berkata pihaknya sudah mengeluarkan arahan kepada semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan untuk mengadakan solat sunat Khusuf berjemaah, pada jam 8.39 malam (selepas solat Isyak).

Katanya, beliau sendiri akan membacakan khutbah selepas solat sunat Khusuf, di Masjid Putra, Putrajaya.

"Orang ramai dijemput hadir untuk meraikan solat sunat berjemaah dan mensyukuri fenomena luar biasa ini. Mengikut hadis sahih riwayat Muslim, Nabi Muhammad SAW dan sahabat mendirikan solat sunat gerhana bulan dan matahari. 

"Justeru, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akan menjayakan program di Planetarium Negara dan Masjid Putra. 

"Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan akan mengadakan cerapan gerhana di Pantai Kampung Tanjung Aru dan solat sunat Khusuf akan di masjid-masjid dan surau-surau sekitar Labuan," katanya.

Ends

13917 dibaca
Berita Harian X