Rabu, 31 Januari 2018 | 8:52pm

Tarikan Super Blue Blood Moon di Sabah

KOTA KINABALU: Kira-kira 100 pengunjung berkumpul di pekarangan Menara Tun Mustapha, Teluk Likas, di sini, bagi sama-sama menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh yang dijangka berlaku pada kira-kira jam 9 malam nanti.

Hadir sama ialah beberapa ahli Persatuan Pencerap Bintang Sabah (Sabah Stargazer) yang membawa bersama peralatan untuk melihat dan merakam fenomena semula jadi itu seperti teleskop dan kamera berkuasa tinggi.

Sabah Stargazer bekerjasama dengan Yayasan Sabah untuk membuat pencerapan fenomena bulan penuh di pekarangan bangunan ibu pejabat yayasan itu yang turut dikenali sebagai Bangunan Yayasan Sabah.

Pengunjung mula berkumpul ketika bulan penuh mula muncul di ufuk timur bandar raya ini pada kira-kira jam 6.30 petang tadi bagi menyaksikan fenomena gerhana yang bermula pada kira-kira jam 6.50 petang tadi.

Pengurus Program Outreach Sabah Stargazer, Emma Zulaiha Zulkifli, berkata pihaknya mengambil inisiatif mengadakan pencerapan terbuka bagi memberi peluang kepada orang ramai termasuk pelajar dan pengunjung luar untuk sama-sama melihat fenomena berkenaan.

Beliau berkata, ia adalah antara aktiviti Sabah Stargazer bagi mempromosikan Sabah sebagai lokasi menarik untuk aktiviti mencerap bintang berikutan kelebihan langit negeri ini yang kurang pencemaran cahaya.

"Pada malam ini, kita menyediakan dua teleskop dan sebuah paparan siaran langsung fasa gerhana bulan penuh di pekarangan Menara Tun Mustapha, selain disiarkan menerusi laman sosial Facebook persatuan.

"Bagi kami inilah masanya untuk menghayati kejadian semula jadi ini lebih-lebih lagi fenomena gerhana bulan penuh kali ini yang dipanggil masyarakat barat sebagai Super Blue Blood Moon agak berbeza dengan gerhana bulan yang lain," katanya.

Beliau berkata, gerhana bulan penuh di Sabah malam ini berlaku selama sejam 16 minit bermula pada jam 8.50 malam hingga jam 10.06 malam nanti sebelum beransur pudar dan hilang sepenuhnya pada tengah malam nanti.

Selain aktiviti mencerap bintang, beberapa aktiviti seperti pameran berkaitan ilmu astronomi dan solat sunat gerhana bulan turut diadakan sempena aktiviti berkenaan.

Gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris dan keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra bumi.

Emma Zulaiha berkata, fenomena Super Blue Blood Moon adalah berdasarkan tiga kejadian bulan yang berlaku serentak pada malam ini iaitu 'super moon' iaitu bulan kelihatan lebih besar kerana kedudukannya lebih dekat dengan bumi dan 'blue' berikutan dua kejadian bulan penuh pada Januari tahun ini iaitu pada 1 Januari lalu dan malam ini.

"Blood atau merah pula adalah kerana warna kemerahan gerhana bulan penuh yang berpunca daripada pembiasan cahaya matahari. Ketiga-tiga kejadian serentak ini dikatakan pertama kali berlaku selepas lebih 150 tahun lalu," katanya.

4612 dibaca
GERHANA bulan kelihatan 8.10 malam dari Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah.
GERHANA bulan kelihatan 8.10 malam dari Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah.
Berita Harian X