Jumaat, 2 Februari 2018 | 12:22am

Tujuh pulau jadi laluan tikus PATI ke Sabah

SANDAKAN: Kewujudan sungai kecil di sepanjang laluan haram digunakan PATI untuk menyusup masuk ke Sabah dan melarikan diri apabila dikesan pasukan keselamatan.

Sejak 2014, PATI dikesan mengubah taktik untuk masuk secara haram ke Sabah menerusi perairan Sandakan dan dikatakan tidak lagi melalui Taganak, Filipina yang mempunyai jarak lebih dekat dengan Sandakan iaitu kira-kira 18 batu nautika.

Ia susulan kehadiran banyak aset pasukan keselamatan termasuk Kapal Auksiliari Tun Azizan di kawasan berhampiran sempadan dan rondaan berterusan dilaksanakan pelbagai agensi keselamatan.

Sebaliknya, PATI dikesan menggunakan laluan dari Pulau Bakungan Besar melintasi Pulau Selingan ke Pulau Libaran sebelum ke Tanjung Pasir yang mempunyai lorong tikus di sepanjang laluan berkenaan sehingga ke dua pusat pendaratan utama iaitu perkampungan atas air Kampung Tinosa dan Kampung Mangkalinau.

PULAU Bakkugaan Besar, Filipina yang terletak di sempadan perairan Malaysia-Filipina yang dipercayai menjadi pulau transit bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) sementara. - Foto Poliana Ronnie Sidom.

Keseluruhan perjalanan cuma 40 batu nautika atau 30 minit hingga sejam menggunakan enjin 80 hingga 250 kuasa kuda.

Di sepanjang laluan itu pula, terdapat banyak 'laluan tikus' iaitu sungai kecil dan bakau yang membolehkan PATI melarikan diri dan bersembunyi sekiranya terserempak dengan pasukan keselamatan dengan tujuh sungai utama yang dikesan adalah Sungai Padas, Sungai Mangkalinau, Sungai Batu 3, Sungai Tinosa, Sungai Batu Putih, Sungai Batu 10 dan Sungai Seguntor.

PASUKAN keselamatan melakukan rondaan di perairan Pulau Bakungan Kecil yang bersempadan Malaysia-Filipina. - Foto Poliana Ronnie Sidom.

Tinjauan BH bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) turut mendapati kewujudan beberapa pondok kecil di sungai kecil yang dijadikan lorong tikus, dipercayai digunakan PATI untuk 'berteduh' sementara menunggu peluang untuk ke Sandakan.

Tinjauan turut mendapati kewujudan puluhan anak sungai kecil di sepanjang lorong tikus yang dipercayai dijadikan tempat persembunyian dengan kedalaman air antara satu hingga satu meter setengah.

Tekong bot yang dipercayai didalangi warga tempatan turut dikatakan menggunakan khidmat 'tonto' yang menyamar sebagai pemancing atau nelayan bagi melaporkan rondaan pasukan keselamatan, sekali gus memudahkan pergerakan membawa PATI masuk ke Sabah.

Selain perhubungan melalui telefon bimbit, mereka dipercayai menggunakan isyarat kerlipan lampu bagi melaporkan kehadiran pihak keselamatan.

Pegawai Operasi Daerah Maritim 17 (DM17), Leftenan Maritim Mohd Asri Zahari, berkata waktu yang dipilih tekong bot untuk membawa masuk PATI ialah sekitar jam 1 hingga jam 3 pagi iaitu ketika air pasang penuh yang memudahkan mereka masuk ke laluan tikus.

"PATI dari Filipina menaiki kumpit untuk sampai ke beberapa pulau yang bersempadan dengan Malaysia, antaranya Pulau Bakungan Besar, Lihiman, Langaan dan Pulau Penyu, sebelum menunggu masa sesuai untuk masuk ke Sabah.

Pulau Bakkugaan Besar, Filipina yang terletak di sempadan perairan Malaysia-Filipina. - Foto Poliana Ronnie Sidom.

"Apabila ada peluang, mereka akan masuk menggunakan perkhidmatan tekong laut yang kita percaya didalangi warga tempatan dan lebih mahir selok-belok laluan di laut berbanding pasukan penguat kuasa," katanya.

Mohd Asri berkata, operasi berterusan dilaksanakan Maritim Malaysia dengan tumpuan ke kawasan yang menjadi laluan tikus membawa masuk PATI, selain barang kawalan.

"Masalah timbul susulan keadaan air yang cetek di lorong tikus menyukarkan pasukan keselamatan mengejar bot digunakan PATI yang biasanya menggunakan bot kecil biasa," katanya.

Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Sabah akan menyiasat kewujudan ejen palsu yang menjadi dalang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sabah untuk ditawarkan pekerjaan.

Pengarahnya, Musa Sulaiman, berkata pihaknya juga menyiasat kewujudan sindiket yang dikesan menjadi 'orang tengah' bagi mengawal pekerja asing tanpa permit di negeri ini.

Selain itu, katanya, operasi berterusan dilaksanakan bagi menggempur ladang kelapa sawit yang dikesan menggaji pekerja asing tanpa pas bekerja yang sah.

"Kita ada membuat risikan dan mengesan kewujudan ejen palsu serta sindiket ini yang seolah-olah berperanan mengawal pekerja asing tanpa permit di negeri ini.

"Siasatan lebih terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti ejen palsu, selain mengadakan operasi berterusan khususnya di ladang kelapa sawit yang dikesan menggaji pekerja tanpa memperoleh permit sah daripada JIM atau Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Masalah yang timbul apabila membuat operasi ke ladang adalah faktor logistik kerana kawasan ladang terlalu luas, manakala jumlah anggota tidak mencukupi," katanya ketika dihubungi BH.

Semalam, BH melaporkan kewujudan ejen yang menjadi 'orang tengah' kepada PATI bagi mendapatkan pekerjaan di Sabah, selain kegiatan syarikat perladangan kelapa sawit yang menawarkan pekerjaan kepada PATI.

Selain bekerja di ladang kelapa sawit, PATI dari Filipina turut diseludup dan ditawarkan bekerja sebagai pembantu rumah atau di pusat hiburan seluruh Sabah.

Musa berkata, Imigresen Sabah serius dalam menangani isu berkenaan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap majikan jika didapati bersekongkol dengan ejen palsu atau sindiket untuk membawa masuk warga asing serta menawarkan pekerjaan terhadap mereka.

Katanya, ia termasuk tindakan undang-undang menerusi Akta Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

"Hanya pekerja asing yang memiliki permit sah dan direkrut menggunakan saluran betul yang dibenarkan berkerja di negeri ini.

"Selain itu, cuma ejen yang ada lesen dan berdaftar dengan JTK serta JIM boleh membekalkan pekerja asing kepada sektor pekerjaan di negeri ini, manakala majikan pula perlu mempunyai kuota untuk menggaji pekerja," katanya.

INFO

- Tekong laut menggunakan laluan dari Pulau Bakungan Besar, Filipina melintasi Pulau Selingan, Pulau Libaran dan Tanjung Pasir.

- Keseluruhan perjalanan 40 batu nautika.

- 30 minit menaiki bot.

- Enjin 80-250 kuasa kuda.

- Tujuh sungai utama di Sandakan menjadi laluan menyeludup PATI iaitu Sungai Padas, Mangkalinau, Batu 3, Tinosa, Batu Putih, Batu 10 dan Seguntor.

Berita Harian X