Ahad, 4 Februari 2018 | 12:11pm
SALLEH (dua dari kiri), Tunku Zainal Abidin (tiga dari kanan) dan Ibdillah (dua dari kanan) pada Sidang Kemuncak Aspirasi dan Kepemimpinan (NALS) 2018 di Kuala Lumpur. - Foto Mahzir Mat Isa

Undang-undang kekang berita palsu

KUALA LUMPUR: Akta baharu menangani penularan berita palsu akan cuba dimasukkan dalam sidang Parlimen, Mac ini untuk digubal dan dibahaskan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata undang-undang yang akan diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri itu masih di peringkat penelitian jawatankuasa khas.

Katanya, inti pati perundangan baharu itu akan dibentang kepada Jemaah Menteri selepas dibincangkan ahli jawatankuasa dianggotai pelbagai pihak dan mewakili fahaman politik berbeza.

"Jika sempat dan dipersetujui (Jemaah Menteri), tiada sebab mengapa kita perlu lengahkan pembentangan akta baharu pada sidang Parlimen, Mac ini.

"Kita khuatir kelewatan penggubalan undang-undang bagi mengekang penularan berita palsu akan memperjudikan keselamatan negara, sekali gus menafikan dakwaan ia akan digunakan untuk kepentingan politik semata-mata.

"Peruntukan undang-undang ini akan turut memberi manfaat kepada pembangkang," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Aspirasi dan Kepemimpinan (NALS) 2018, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Pengasas Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi, Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz dan Ketua Penyelaras Eksekutif Biro Pelajar Luar Negara, Ibdillah Ishak.

Salleh berkata, akta berkenaan bukan sekadar menangani penularan berita palsu menerusi dalam talian, sebaliknya merangkumi penyebaran surat layang dan dokumen yang berupaya meranapkan kredibiliti seseorang.

"Sebab itu seluruh dunia, termasuk United Kingdom kini merangka mekanisme khusus bagi mengekang penyebaran berita palsu kerana ia mengancam semua pihak.

"Akta sedia ada (Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984) tidak mencukupi untuk menangani penyebaran berita palsu, justeru peruntukan baru harus digubal secepat mungkin.

"Ia tiada kaitan dengan gerakan untuk mengongkong kebebasan bersuara, termasuk tindakan mengkritik kerajaan di media sosial," katanya.

Berita Harian X