Ahad, 4 Februari 2018 | 3:31pm
GURU di Kolej Vokasional Keningau, Sirhajwan Idek.

Cikgu Sirhajwan dicalon 2 anugerah pendidikan global

KOTA KINABALU: "Saya tercalon kerana berani dan tekad membuktikan tiada yang mustahil untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memperkembangkan diri secara profesional," kata Sirhajwan Idek, 30.

Guru di Kolej Vokasional Keningau itu dicalonkan bagi dua anugerah antarabangsa yang dipertandingkan dalam Global Educational Supplies and Solutions (GESS) Education Awards pada 28 Februari ini.

Sirhajwan berkata, menerusi pencalonan itu beliau dapat membantu pelajar dan rakan sekerjanya supaya yakin dengan kebolehan masing-masing.

Katanya, beliau dicalonkan dalam dua daripada enam anugerah antarabangsa yang dipertandingkan di GESS Education Awards yang akan berlangsung di Dubai nanti.

"Anugerah pertama yang saya tercalon adalah Community Award for Citizenship kerana sumbangan kepada komuniti melalui pendidikan iaitu mewujudkan program 'Wonder Zone'.

"Dalam program ini, pelajar saya melaksanakan projek yang dirancang sebagai penyelesaian kepada isu dihadapi kanak-kanak di sekolah rendah seperti kesihatan, kemahiran membaca, kebersihan, teknologi dan alam sekitar.

"Dalam anugerah ini ada lapan finalis tercalon dari seluruh dunia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagi anugerah kedua, Sirhajwan berkata, beliau antara 11 finalis tercalon dalam Outstanding Contribution in Education Award terhadap pencapaiannya sebagai guru di Kolej Vokasional Keningau selama ini.

"Saya berjaya membantu pelajar untuk bertanding dan memenangi pertandingan Bahasa Inggeris, Inovasi, Keusahawan dan ini sangat bermakna bagi pelajar yang berada di tempat terpencil serta kurang pendedahan kepada dunia luar.

"Selain itu, saya membantu dalam perkembangan profesional pendidik melalui kursus, kajian, perkongsian ilmu serta membantu guru dalam kajian, persidangan dan inovasi mereka," katanya.

Anak kelahiran Kota Belud itu berkata, beliau mengetahui dicalonkan dalam dua anugerah itu pada 18 Januari lalu menerusi pesanan emel.

"Sebaik menerima berita itu, saya sangat bersyukur dan gembira sebab kriteria pemilihan sangat sengit. Malah yang lebih mengejutkan bukan satu yang terpilih tetapi dua anugerah sekali gus dan ia sukar dipercayai," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap menerusi pencalonan terbabit, guru lain dapat mengambil inspirasi bahawa guru adalah kerjaya yang membolehkan mereka pergi jauh berdasarkan usaha, kreativiti dan minat masing masing.

"Saya memang suka menyertai pertandingan kebangsaan dan antarabangsa kerana selepas melatih serta mengurus pelajar untuk pelbagai pertandingan, mereka memberi saya inspirasi untuk cuba bertanding pula di peringkat tinggi.

Terdahulu, Sirhajwan turut berkongsi kejayaan yang pernah dicapainya sebelum ini termasuk memenangi tiga pertandingan antarabangsa dan terdapat 10 pencapaian antarabangsa.

"Saya pernah merangkul gelaran juara dunia dalam International Innovation and Entrepreneurship Excellence in Teaching Award di Paris pada 22 September 2017, Pemenang Global Express Publishing IATEFL Scholarship 2017 untuk membentang projek di Brighton, United Kingdom 2018 dan Pemenang Global Macmillan Teachers at my Heart untuk menghadiri kursus selama dua minggu di Norwich United Kingdom 2016.

"Selain itu, saya disenaraikan dalam 50 finalis bagi Global Teacher Prize 2017 yang berlangsung di Dubai pada Mac 2017 dan pernah dinoba Ikon Guru Kebangsaan, negeri dan daerah pada 2017," katanya yang kini dalam pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Berita Harian X