Ahad, 4 Februari 2018 | 6:27pm
Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelajar yang mengikuti Program Bantuan Pelajar Eco World pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) 2017, di Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

Yayasan Eco World bantu sekolah rendah

KOTA KINABALU: Yayasan Eco World menjalinkan kerjasama dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) untuk meningkat dan menyediakan fasiliti keselamatan di sekolah rendah yang memerlukan.

Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata NIOSH sedang mengenal pasti sekolah daif yang memerlukan bantuan di seluruh negara dan akan menyenaraikan sekolah itu kepada yayasan berkenaan.

"Yayasan akan membantu menyediakan dana dan keperluan. Masalah sekolah yang daif memang tanggungjawab kerajaan tetapi kami komited membantu melakukan pembaikan.

"Ini adalah perkara asas yang kami boleh bantu bagi memastikan sekolah menjadi tempat yang selamat," katanya dalam majlis penyampaian Anugerah Eco World, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah kepada pelajar cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Lam Thye yang juga Pengerusi NIOSH berkata, Yayasan Eco World hanya menetapkan peruntukannya bergantung kepada keperluan sekolah dan dijangka usaha sama itu bermula pada Jun tahun ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan Anugerah Kecemerlangan kepada dua murid UPSR; Anugerah Cemerlang kepada enam murid UPSR; dan Anugerah Paling Baik untuk enam murid UPSR serta tiga pelajar PT3.

Di bawah Program Bantuan Pelajar (SAP), semua penerima anugerah itu menerima kamus, buku motiasi dan hadiah wang tunai.

Selain itu, tiga guru menerima Anugerah Guru kerana komitmen dan dedikasi terhadap SAP serta pembabitan dalam aktiviti itu.

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru 1 menerima Anugerah Sekolah Terbaik kerana menyokong program bantuan pelajar.

Dalam ucapannya, Lam Thye berkata, Anugerah Kecemerlangan UPSR diadakan setiap tahun untuk menggalakkan murid untuk belajar lebih baik serta cemerlang.

Sejak tahun 2013, Yayasan Eco World sudah membantu 55 pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat tinggi.

Seramai 18 daripada mereka sudah memiliki ijazah dari beberapa institusi pengajian tinggi manakala selebihnya sedang mengikuti pengajian di universiti tempatan.

Berita Harian X