Ahad, 4 Februari 2018 | 8:22pm
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika menyampaikan Anugerah Belia Felda Malaysia (kategori persatuan) kepada Persatuan Belia (MBFM) Felda Jelai 03, Wilayah Raja Alias pada majlis pelancaran Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut, hari ini.
- Foto BERNAMA

PM lancar FELDA 2.0

BENTONG: Dakyah kononnya FELDA dan kerajaan tidak membantu peneroka adalah cakap-cakap kosong dan dakyah yang tidak perlu diambil kira sama sekali, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas FELDA, beliau sentiasa mengolah yang terbaik melalui pengumuman yang dibuat dari semasa ke semasa.

"Umpamanya sambutan Hari Peneroka 2017 Peringkat Kebangsaan (sebelum ini) buat pertama kalinya dalam sejarah FELDA membuka peluang untuk peneroka yang sudah tidak lagi bersama untuk kembali bermuafakat dengan FELDA. Kita lakukan ini sebab kita terus mahu membela nasib semua warga peneroka.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak beramah mesra bersama penduduk Felda Lurah Bilut selepas merasmikan Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut hari ini. Turut hadir Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad (kanan) dan Menteri Pengangkutan yang juga anggota Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai (dua, kanan). - Foto BERNAMA

"Setelah enam bulan pengumuman itu sukacita saya maklumkan seramai 10,338 orang peneroka bersetuju kembali bermuafakat menjadi peneroka yang berada dalam sistem kewangan dan pentadbiran FELDA.

"Dengan ini bererti jumlahnya 93.5 peratus atau 105,294 dari keseluruhan peneroka sudah pun bersama-sama dengan FELDA.

"Ini adalah kejayaan yang paling tinggi," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran FELDA 2.0 di FELDA Lurah Bilut, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Ahli Parlimen Bentong, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad.

Pada majlis itu Najib turut menyampaikan replika cek insentif peneroka sifar hutang dan Anugerah Belia FELDA Malaysia kepada beberapa tokoh belia dari wilayah FELDA.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertanya khabar kepada peneroka Felda Kamaruddin Mat Doaa ketika menziarahinya selepas melancarkan Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut hari ini. Turut hadir Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Menteri Pengangkutan yang juga anggota Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai (kiri). - Foto BERNAMA

Najib yang menyatakan komitmen untuk menyokong konsep FELDA 2.0 berkata, kerajaan akan membantu menambahkan peruntukan bagi membolehkan projek itu dijalankan secara menyeluruh.

"Jadi kalau Tan Sri Shahrir nak RM50 juta insya-Allah diluluskan RM50 juta tahun ini. Janji buat projek ini," katanya.

Beliau juga memaklumkan persetujuannya untuk menjemput 11 wakil wilayah FELDA untuk mengikuti ibadat haji di bawah program Yayasan 1MDB mulai tahun ini.

Dalam pada itu, beliau berkata FELDA dekat di hati dan mata beliau kerana merasakan diberi peluang untuk meneruskan perjuangan yang telah dimulakan pada 1956 oleh Allahyarham ayahandanya Tun Razak.

"Hari ini perasaan ini dikongsi bersama, kerana FELDA dan keluarga Tun Razak tak dapat dipisahkan. Bukan saja roh falsafah Tun Razak masih hidup, masih membara dalam hati sanubari tetapi tentu sekali bagi keluarga Allahyarham kami semua beriltizam supaya apa yang telah dimulakan oleh Allahyarham itu bukan saja akan diteruskan tetapi akan sampai kepada matlamat dan impian yang sebenarnya," katanya yang turut mengimbau saat ayahandanya meniti titian kayu di Lurah Bilut suatu masa lalu.

Katanya, Allahyarham telah bermula dengan ungkapan "land for landless and good land for good people."

"Ini ungkapan Tun Razak. Dan 'land for landless" itu mulalah satu perjalanan untuk diberikan tanah yang terbaik untuk rakyat yang terbaik.

"Jadi orang yang terpilih dalam rancangan FELDA Lurah Bilut ini tentulah pada anggapan Tun Razak orang-orang yang terbaik belaka, sebab itulah terpilih dalam rancangan Lurah Bilut ini.

"Rancangan ini Alhamdulillah semakin berjaya. Saya pun terpegun melihat rancangan ini betapa maju dengan serba-serbi kemudahan yang wujud," katanya.

1249 dibaca
Berita Harian X