Isnin, 5 Februari 2018 | 9:44am
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bersama Anggota Pertahanan Awam memantau keadaan banjir di Sg Plan, Bintulu. - Foto Jabatan Bomba Dan Penyelamat

Banjir Sarawak bertambah buruk

KUCHING: Banjir susulan hujan lebat sejak empat hari kini merebak hampir ke seluruh negeri ini dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat.

Setakat jam 8 pagi ini, seramai 2,320 mangsa daripada 624 keluarga berada di 20 PPS di Kuching, Kota Samarahan, Serian, Bintulu dan Mukah.

Daripada jumlah itu, Kota Samarahan mencatat jumlah tertinggi dengan 1,154 mangsa daripada 304 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS.

Mereka adalah penduduk dari lapan penempatan yang dilanda banjir iaitu Kampung Baru Sebuyau, Kampung Rangawan, Kampung Seruyuk, Kampung Segali, Kampung Tanjung Bundong Lot, Kampung Sadong Jaya Ulu, Kampung Mang Lot dan Kampung Ulu Semera.

Mangsa banjir di Bahagian Kota Samarahan kini ditempatkan di lapan PPS iaitu Dewan Pembangunan Sebuyau seramai 124 mangsa, Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Bujang Rangawan Putin (321), Masjid Kampung Seruyuk (80), Dewan Masyarakat

Kampung Segali (135), Dewan Suarah Kota Samarahan (35), Pusat Sumber PBB Sadong Jaya (163), SK Kampung Mang (114) dan SK Haji Kelali Semera (182).

Bilangan PPS di Bahagian Kuching pula kekal tiga iaitu Surau Ar Rahman Kampung Sungai Batu (36), Masjid Darul Muttaqin Kampung Buntal (70) dan SMK Tabuan Jaya (134).

Tiga kawasan terjejas banjir di Kuching ialag Kampung Sungai Batu, Kampung Buntal Lot dan Kampung Sungai Laru Tabuan Jaya.

Di Bahagian Serian, lima PPS kini diaktifkan iaitu Dewan Betong

Kenawit (16), Dewan Lintang Baru Panchor (205), SK Samarahan (175),

Surau Hadhari Kampung Rimba Padi (91) dan gereja St Peter (75).

Penempatan penduduk yang dilanda banjir di Serian ialah Kampung Betong Kenawit, Kampung Lintang Baru Panchor, Kampung Siniawan, Kampung Rimba Padi dan Kampung Soh.

Sementara itu, tiga PPS dibuka di Bahagian Mukah iaitu SK Parish Balingian yang menempatkan 104 mangsa dari Ladang SOP, Dewan Suarah Mesra Mukah yang menempatkan tiga mangsa dari Kampung Mateding dan Dewan Masyarakat Kampung Kuala Balingian yang menempatkan 80 mangsa dari Rumah Merling.

Di Bahagian Bintulu pula, hanya satu PPS beroperasi ketika ini iaitu di Dewan Suarah Bintulu yang menempatkan 177 mangsa dari Sungai Plan dan Sungai Sebatang Batu Lima.

1117 dibaca
Berita Harian X