Isnin, 5 Februari 2018 | 10:35am
KEADAAN banjir di Dalat, Mukah. - Foto ihsan APM

Banjir: Enam sekolah ditutup di Sarawak

KUCHING: Seramai 940 murid di enam sekolah di negeri ini tidak bersekolah hari ini akibat banjir susulan hujan lebat sejak empat hari lalu.

Sekolah terbabit berada dalam Bahagian Mukah iaitu tiga di daerah Dalat serta masing-masing satu di daerah Selangau dan Mukah manakala satu lagi sekolah dalam Bahagian Kota Samarahan iaitu di Simunjan.

Tiga sekolah di Dalat ialah Sekolah Kebangsaan Klid/ Plajau yang mempunyai 59 murid; SK St John Kampung Medong(259) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Hua (175).

Di Selangau, sekolah yang terpaksa ditutup ialah SK Nanga Selangau yang mempunyai 337 murid dan SK Kuala Kenyana di Mukah yang mempunyai 35 murid manakala di Simunjan pula, sekolah yang ditutup ialah SK Tanjung Pisang Selangking yang mempunyai 75 murid.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, penutupan enam sekolah itu dibuat apabila paras air mencecah tahap berbahaya.

"Hujan berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan paras air sungai naik mendadak dan melimpah sehingga mencecah hampir dua meter.

"Keadaan itu agak berbahaya bagi murid serta guru dan langkah terbaik untuk menjamin keselamatan mereka ialah menutup sekolah terbabit serta mengarahkan murid yang tinggal di asrama balik ke rumah masing-masing," katanya.

Sementara itu, empat sekolah kini dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tabuan Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Bujang Rangawan Putin, SK Mang dan SK Haji Kelali Semera.

499 dibaca
Berita Harian X