Isnin, 5 Februari 2018 | 11:12am
DATUK C Sivarraajh. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Kaum India rebut peluang beli RUMAWIP

KUALA LUMPUR: Kurang memahami prosedur memohon Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) menyebabkan kuota 10 peratus kaum India menduduki kediaman itu masih belum dipenuhi.

Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran berkata, ia diperoleh daripada hasil tinjauan dilakukan parti dan aduan belia India kepada MIC.

Katanya, bagi mengatasi situasi itu, Kementerian Wilayah Persekutuan perlu memperbanyakkan usaha mempromosikan RUMAWIP dalam kalangan kaum India, selain mempermudahkan permohonan berkenaan.

"MIC Wilayah Persekutuan sendiri sebelum ini sudah menyenaraikan 20 orang pemohon kepada kementerian mengenai isu RUMAWIP, namun masih belum mendapat sebarang maklum balas.

"Seperti semua sedia maklum, kebanyakan warga kota bekerja sepanjang hari dan mungkin kekangan masa menjadikan ia satu cabaran untuk memohon RUMAWIP," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tidak timbul isu belia India tidak suka tinggal di RUMAWIP yang dikatakan menjadi faktor kuota permohonan itu masih belum dipenuhi.

"Kebanyakan mereka yang tinggal di ibu kota ini mampu dan sanggup membeli rumah berkenaan, cuma mereka tidak pasti mengenai program terbabit.

"Bahkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga sebelum ini berkata, kaum India perlu merebut peluang membeli RUMAWIP kerana masih banyak yang belum terisi daripada 10 peratus kuota disediakan untuk kaum India," katanya.

Berita Harian X