Isnin, 5 Februari 2018 | 2:45pm
MOHD Kairol bersama Ketua Srikandi PPBM Klang, Juliana Mansor (kiri) menunjukkan senarai semakan nama selepas menghantar aduan kepada ROS berhubung kegagalan PPBM mengikut perlembagaan parti, di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Berhenti salahkan ROS

PUTRAJAYA: Sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Klang mendesak parti itu berhenti menyalahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana PPBM sendiri yang gagal mematuhi perlembagaan parti.

Ketua Pemuda PPBM Klang, Mohd Kairol Faizal Mohd Nordin, mendakwa kepemimpinan PPBM yang diterajui Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan ROS tidak menjalankan tugas yang sepatutnya berhubung isu PPBM tanpa mengakui mereka sebenarnya yang tidak mengikut peraturan yang digubal sendiri.

Beliau berkata, antaranya termasuk sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) yang tidak ada dalam perlembagaan PPBM dan pelaksanaan mesyuarat agung tahunan (AGM) parti itu pada 30 Disember tahun lalu tanpa mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian terlebih dulu.

"AGM yang diadakan tidak mengikut perlembagaan. Contohnya Pemuda dan Srikandi tidak pernah mengadakan mesyuarat masing-masing sebelum AGM itu.

"Sepatutnya setiap cawangan dan bahagian bermesyuarat serta mengadakan pemilihan wakil ke AGM tetapi apa yang kami dapat tahu, setiap bahagian memilih lapan wakil daripada kepemimpinan tertinggi untuk ke AGM berkenaan," katanya selepas menghantar aduan kepada ROS berhubung kegagalan PPBM mengikut perlembagaan parti, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Srikandi PPBM Klang, Juliana Mansor.

Selain itu, kedua-dua mereka turut mendakwa Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih layak menerajui PPBM dan Pakatan Harapan (PH) berbanding Dr Mahathir.

"Masih ramai orang muda berkaliber dalam PH dan Dr Mahathir perlu memberi laluan kepada mereka. Tidak semestinya menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, beliau lebih hebat daripada orang lain," katanya.

Berita Harian X