Rabu, 7 Februari 2018 | 10:45am
PENGERUSI Biro Kebajikan UMNO Baling, Noor Azman Ramli (kiri) melawat Ibrahim Hassan yang menghidap penyakit kulit di rumahnya, di Kampung Baru, Mukim Siong. - Foto Safuri Kamarudin

Warga emas sakit kulit kronik rayu bantuan

BALING: Seorang warga emas yang mengalami penyakit kulit kronik, merayu bantuan berikutan keadaannya semakin teruk sejak tahun lalu.

Ibrahim Hassan, 64, dari Kampung Baru, Mukim Siong, tidak lagi mampu bekerja selepas menghidap penyakit itu pada Ramadan tahun lalu.

Berikutan penyakit itu, badannya menjadi hitam, mengelupas serta bersisik menyebabkan beliau tidak selesa dan berkurung di dalam rumah.

"Hampir setahun saya terlantar dan tidak dapat bekerja kerana keseluruhan badan mengelupas serta bersisik.

"Kulit di badan dan rambut semakin luruh dari sehari ke sehari, terasa sakit serta pedih seperti disiat-siat," katanya ketika menerima lawatan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Baling, Noor Azman Ramli, di rumahnya, semalam.

Ketika mula diserang penyakit itu, katanya, beliau berasa sejuk di seluruh badan sebelum kulitnya bersisik sedikit demi sedikit.

Katanya, beliau pernah berubat secara rawatan tradisional dan ke sebuah klinik di Kulim tetapi keadaan tidak berubah, malah semakin teruk.

"Selepas mendapatkan rawatan di Hospital Baling (HB), saya dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, berikutan keadaan kesihatan semakin uzur," katanya.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata, keadaan kulit badannya kini semakin teruk, termasuk mengeluarkan cecair seperti air bisa dan nanah serta bau kurang menyenangkan.

"Apabila cuaca sejuk, badan saya menjadi kebiru-biruan dan sakit seluruh tubuh," katanya.

Kini, beliau terpaksa bergantung kepada isteri, Rafeah Nayan, 63, yang mengambil alih kerja menoreh getah.

Dengan pendapatan menoreh tidak sampai RM300, katanya, mereka berdua terpaksa berjimat dan mengikat perut, namun mendakwa tidak mahu menyusahkan anak yang juga hidup susah.

Ibrahim berharap mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk beliau meneruskan kehidupan bersama isteri dan seorang cucunya, Mohd Danial Haikal Yusri,13.

Sementara itu, Pegawai JKM Baling, Shamsul Izrin Isahak, berkata pihaknya akan menyiasat kes berkenaan.

"Kita akan menyiasat kes beliau. Jika layak, JKM akan menyalurkan bantuan bulanan untuk meringankan beban ditanggung keluarga beliau," katanya ketika dihubungi.

Berita Harian X