Rabu, 7 Februari 2018 | 6:30pm
KAPAL Seabed Constructor.

Tiada sebab untuk panik - Tiong Lai

PUTRAJAYA: Kapal pencarian pesawat penerbangan Malaysia Airlines, MH370, yang hilang, Seabed Constructor, mematikan sistem pengesanannya, kerana sedang dalam pelayaran kembali ke Pelabuhan Freemantle, Australia bagi mengisi bekalan dan minyak.

Berikutan itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata tiada sebab untuk panik apabila kapal terbabit bertindak mematikan transpondernya ketika ia dalam perjalanan ke pelabuhan berkenaan sebelum keluar bagi meneruskan kembali misi pencarian.

"Saya sudah mengarahkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan kepada media perkembangan terkini pencarian itu (untuk pesawat yang hilang) dari semasa ke semasa," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan dan spekulasi yang mendakwa kapal pencarian berkenaan 'lesap' selama 80 jam sebelum kembali dapat dikesan.

Seabed Constructor memulakan misi pencarian MH370 pada 22 Januari lalu dan selepas 10 hari pencarian, Sistem Pengenalan Automatik (AIS) kapal itu ditutup.

Media antarabangsa melaporkan kehilangan kapal itu selama 80 jam tanpa dikesan mencetuskan pelbagai teori konspirasi di ruang maya, termasuk dakwaan kapal itu dilencongkan bagi mendapatkan harta karun daripada kapal Peru, SV Inca yang tenggalam pada 1911 ketika dalam pelayaran ke Sydney.

Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa kapal itu mematikan transpondernya kerana ia dalam perjalanan menuju ke pelabuhan berkenaan, justeru tidak ada sebab untuk menghidupkan sistem pengesanannya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa misi pencarian pesawat MH370 itu dimulakan di kawasan pencarian baharu meliputi kawasan seluas 25,000 kilometer persegi di Lautan Hindi.

Kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian dengan syarikat Ocean Infinity Limited dari Texas, Amerika Syarikat bagi memulakan semula operasi pencarian pesawat malang berkenaan.

Menerusi perjanjian yang berasaskan terma 'tiada bayaran akan diberi jika tiada sebarang penemuan', syarikat terbabit akan dibayar sehingga AS$70 juta (RM280 juta) jika berjaya menemui pesawat berkenaan dalam tempoh 90 hari.

2365 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »