Khamis, 8 Februari 2018 | 2:53pm
DATUK Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man (tiga dari kiri) merasmikan program Perhimpunan Khas Anggota MBI Sempena Tahun Baharu Cina Tahun 2018 di pekarangan Bangunan MBI di Ipoh, hari ini. - Foto Balqis Jazimah Zahari

30 pegawai khas MBI pantau 19 pasar awam

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menempatkan 30 pegawai khas di 19 pasar awam utama sekitar bandar raya ini berikutan pelaksanaan Ops Sampah Perayaan untuk memantau kebersihan sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man, berkata program yang bermula Selasa lalu itu akan berterusan sehingga seminggu selepas perayaan.

Katanya, MBI mengutip sebanyak 500 tan matrik sampah setiap hari pada hari biasa dan jumlahnya meningkat mencecah 800 tan metrik setiap kali musim perayaan.

"Kita akan memastikan kawasan tumpuan musim perayaan khususnya di pasar utama tidak lagi menjadi seperti kawasan tempat pelupusan sampah.

"Jadi, bermula tahun ini kita akan meletakkan pegawai di semua pasar berkenaan, terutama di bahagian pembuangan sampah bagi memantau perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab membuang sampah tidak sepatutnya seperti sisa binaan, perabot, tayar lama dan sampah kebun ketika musim perayaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Perhimpunan Khas Anggota MBI Sempena Tahun Baharu Cina Tahun 2018 di pekarangan Bangunan MBI di sini, hari ini.

Zamri berkata, pegawai yang ditempatkan di kawasan operasi akan memantau 24 jam di setiap lot pasar.

"Jika ada pihak yang membuang sampah secara haram di kawasan pasar, kita tidak akan teragak-agak untuk mengenakan kompaun dan pamerkan mereka (gambar pesalah buang sampah) di akhbar," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kebanyakan mereka yang mahu membersihkan premis pada musim perayaan mengambil jalan mudah dengan membuang sampah di pasar.

"Kita meminta kepada mereka yang membuang sampah ini agar menghubungi pihak yang boleh membantu untuk menyelesaikan masalah pembuangan sampah mereka.

"MBI ada senarai kontraktor untuk membantu membuang sampah. Jadi, mereka boleh menghubungi kontraktor berkaitan mengikut jenis sampah yang mahu diuruskan dan perkhidmatan memerlukan sedikit pembayaran," katanya.

239 dibaca
Berita Harian X