Khamis, 8 Februari 2018 | 5:40pm
PENGARAH Bahagian Hab Halal JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee (kanan) bergambar bersama Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal JAKIM, Bukhari Mat Akhir (dua kiri) dan Ketua Program MyHA 2018, Mohammad Naim Mohd Aziz (dua kanan) di majlis pra pelancaran Persidangan Halal Antarabangsa Malaysia 2018 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PENGARAH Bahagian Hab Halal JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee (kanan) bergambar bersama Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal JAKIM, Bukhari Mat Akhir (dua kiri) dan Ketua Program MyHA 2018, Mohammad Naim Mohd Aziz (dua kanan) di majlis pra pelancaran Persidangan Halal Antarabangsa Malaysia 2018 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Pensijilan halal peranti perubatan diperkenal

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memperkenalkan pensijilan halal bagi peranti perubatan keluaran tempatan menjelang suku ketiga tahun ini.

Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata ia bagi memenuhi permintaan pengeluar produk berkenaan untuk digunakan pesakit terutama yang beragama Islam.

"Sebelum ini, produk peranti perubatan dimasukkan dalam Skim Pensijilan Halal bagi farmaseutikal, contohnya cecair digunakan dalam mesin haemodialisis yang dulunya dikategorikan sebagai produk farmaseutikal.

"Dengan pelaksanaan Akta Peranti Perubatan 2012 dan penubuhan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan di bawah Kementerian Kesihatan, produk ini dikategorikan sebagai peranti perubatan.

"Justeru, industri yang sedia mengeluarkan produk peranti perubatan diiktiraf halal sememangnya menunggu pensijilan halal oleh JAKIM ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Prapelancaran Perhimpunan Halal Antarabangsa Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, JAKIM kini dalam proses mewajibkan kursus dan latihan kepada semua eksekutif halal dalam industri di negara ini menerusi Majlis Profesional Halal, bagi memastikan mereka mempunyai pengetahuan sama dan tidak ketinggalan dengan perkembangan serta aktiviti pihak berkuasa halal.

Sementara itu, Sirajuddin berkata, buat julung kali tahun ini, JAKIM akan menganjurkan Perhimpunan Halal Antarabangsa Malaysia dari 26 Mac hingga 3 April ini di sini.

Beliau berkata, berbeza tahun sebelumnya yang mana penganjuran hanya membabitkan Konvensyen Badan Pensijilan Halal dan Program Pembangunan Kapasiti Halal Antarabangsa, tahun ini JAKIM turut memperkenalkan dua program baharu.

Katanya, ia membabitkan Kursus Majlis Profesional Halal dan Perhimpunan Agung Badan Pensijilan Halal Antarabangsa.

"Seramai 900 peserta daripada 66 badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf JAKIM dari 42 negara dan 16 pihak berkuasa dari Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan menyertai perhimpunan ini, selain agensi strategik halal di negara ini.

"Perhimpunan ini akan menjadi platform semua badan pensijilan halal berkongsi pengalaman dan perkembangan terkini industri halal bukan berkaitan makanan semata-mata, tetapi sudah berkembang kepada barang gunaan seperti kosmetik dan farmaseutikal," katanya.

Berita Harian X