Khamis, 8 Februari 2018 | 6:37pm
MUHD Farhan Muhd Fadhil. - Foto Surianie Mohd Hanif

Kumpul dana bantu pejuang, sukarelawan Al-Aqsa

BANGI: Aman Palestin meneruskan program Jelajah Satu Juta Al-Aqsa bagi siri kedua dalam usaha mengumpul dana untuk disumbangkan kepada pejuang dan sukarelawan yang mempertahankan kiblat pertama umat Islam.

Pengarah program, Muhd Farhan Muhd Fadhil, berkata jelajah itu berlangsung selama tiga minggu bermula hingga 24 Februari depan.

Kali ini, katanya, Aman Palestin membawa bekas Mufti Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr E'krima Sa'eed Sabri, untuk kongsikan keadaan semasa di Baitulmaqdis.

"Isu Baitulmaqdis mendapat perhatian cukup hebat di negara ini dan sokongan diberi juga tidak berbelah bahagi, buktinya pada program Himpunan Putih Solidariti yang diadakan baru-baru ini.

"Namun, kita tidak mahu sokongan ini bermusim saja. Selain meningkatkan kesedaran masyarakat tempatan melalui program jelajah ini, dana akan dikutip dengan sasaran RM1 juta bagi membantu pejuang dan sukarelawan di sana," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Melalui program itu, Sheikh E'krima akan berkunjung ke beberapa masjid tempatan di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan.

Beliau berkata, seluruh umat dan pemimpin Islam perlu bersatu mempertahankan Al-Quds serta menentang kezaliman rejim Zionis.

Badan korporat, agensi kerajaan mahupun individu boleh menyalurkan sumbangan kepada Tabung Aman Palestin menerusi akaun Maybank Aman Palestin 562263010787.

Berita Harian X