Khamis, 8 Februari 2018 | 6:56pm
TUN Mahathir Mohamad. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Istana Kelantan tarik balik Darjah Kerabat Tun M

KOTA BHARU: Istana Kelantan menarik balik Darjah Kerabat (DK) Al-Yunusi Kelantan yang diterima Tun Dr Mahathir Mohamad, berkuatkuasa Selasa lalu.

Penarikan pingat berkenaan dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri menerusi surat yang diterima Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Faudzi Che Mamat, ketika dihubungi, mengesahkan penarikan pingat berkenaan yang diterima Dr Mahathir pada 2002 dan tidak membawa sebarang gelaran.

Akhbar hari ini melaporkan, Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) , Husam Musa dan Pengerusi PAN Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengesahkan Istana Kelantan menarik balik pingat Datuk Paduka daripada mereka.

Wan Abdul Rahim dan Husam menerima surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri memaklumkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, menarik balik Tauliah Pelantikan Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) (Al-Ismaili II).

Darjah yang dianugerahkan kepada dua pemimpin PAN itu ditarik balik mulai 6 Februari.

Berita Harian X