Jumaat, 9 Februari 2018 | 1:24pm
CHAN Ming Kai . - Foto Azhar Ramli

Pakatan Harapan Perlis belum capai sepakat

KANGAR: Pakatan Harapan (PH) Perlis masih belum memuktamadkan sepenuhnya pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, berpunca daripada perubahan pada pengagihan kerusi Parlimen.

Pembahagian tersebut yang sepatutnya selesai pada akhir bulan lalu, tetapi terbantut apabila parti komponen PH perlu berunding semula selepas Parti Amanah Negara (PAN) terpaksa mengorbankan satu kerusi Parlimen kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Difahamkan, perancangan asal PH Perlis adalah membahagikan tiga kerusi Parlimen di negeri ini dalam kalangan tiga parti iaitu PKR, PPBM dan PAN.

Bagaimanapun, PAN dikatakan terpaksa mengalah dan memberi laluan kepada PPBM yang juga parti paling muda dalam PH untuk bertanding di Parlimen Padang Besar dan Arau, manakala PKR kekal bertanding di Kangar.

Akibatnya, PH negeri terpaksa merombak semula pembahagian empat kerusi DUN bagi mengelak konflik dalam kalangan pakatan pembangkang.

Timbalan Pengerusi PKR Perlis, Chan Ming Kai, mengakui pembahagian kerusi PH di negeri ini masih belum selesai, namun beliau yakin perkara itu akan diselesaikan dalam tempoh seminggu ini.

"Kita sudah siap (pembahagian kerusi) 70 peratus, hanya beberapa kerusi sahaja yang belum dimuktamadkan iaitu Pauh, Simpang Empat, Tambun Tulang dan Sena.

"Sepatutnya selesai hujung bulan lalu, tetapi kita perlu menyusun semula berdasarkan keputusan pusat dalam pembahagian kerusi Parlimen di Perlis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, berkata setakat ini pembahagian kerusi yang dimuktamadkan menyaksikan PKR akan bertanding di tiga kerusi, PAN empat, PPBM tiga dan DAP satu kerusi.

"PKR akan meletakan calon di Kuala Perlis, Indera Kayangan dan Chuping. PAN pula di Santan, Beseri, Sanglang dan Bintong.

"PPBM pula di Mata Ayer, Kayang dan Guar Sanji, manakala DAP di Titi Tinggi," katanya.

Jumlah keseluruhan kerusi DUN di Perlis adalah sebanyak 15 kerusi, di mana hanya dua sahaja milik pembangkang iaitu PKR di Indera Kayangan dan satu lagi PAS di Sanglang.

Berita Harian X