Jumaat, 9 Februari 2018 | 5:52pm
TAPAK projek pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq

'FIC yang bertanggungjawab, bukan FELDA'

KUALA LUMPUR: Ahli Lembaga Pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isu pemindahan hak milik tanah FELDA di Jalan Semarak.

Ahli Lembaga Pengarah FELDA, Shamsuddin Othman, berkata ia berikutan ahli Lembaga Pengarah FIC ketika transaksi sejak 2014 itu gagal melaksanakan mandat diberi untuk membangunkan tanah terbabit dengan sempurna.

Katanya, ahli Lembaga Pengarah FELDA ketika itu tidak wajar dipersalahkan kerana pemindahan hak milik tanah dilakukan tanpa pengetahuan mereka.

"Ahli Lembaga Pengarah FELDA dan FIC tidak boleh dipersalahkan secara kolektif kerana FIC yang bertanggungjawab, bukan FELDA.

"Kita (FELDA) serahkan tanah itu kepada mereka untuk dimajukan. Ini (pemindahan hak milik tanah) perkara besar, sepatutnya dibawa kepada Lembaga Pengarah FELDA.

"Pemberian Surat Kuasa Wakil Penuh (PA) yang membawa kepada penukaran hak milik tanah adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, mengulas laporan akhir audit forensik ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang menyenaraikan secara kolektif ahli Lembaga Pengarah FELDA dan FIC ketika transaksi sejak 2014, untuk tindakan tata tertib dan undang-undang.

Shamsuddin adalah antara ahli Lembaga Pengarah FELDA pada era Tan Sri Mohd Isa Samad selaku pengerusi pada 2015/2016.

Kontroversi membabitkan tanah FELDA tercetus selepas BH dalam laporan muka depannya pada 21 Disember tahun lalu mendedahkan mengenai pindah milik tanah agensi itu di Jalan Semarak diragui.

Ia dipercayai berlaku apabila FIC melantik Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan PA bagi membangunkannya.

Susulan hasil audit forensik ke atas projek KLVC, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman bagi mengambil tindakan atas cadangan dan syor laporan audit.

Jawatankuasa Perunding turut ditubuhkan bagi mengkaji semula perjanjian antara FIC dengan SPSB dan Synergy Promenade Kuala Lumpur Vertical City Sdn Bhd (SPKLVCSB).

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad dalam sidang media malam tadi berkata, agensi itu turut menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Lembaga FELDA bagi membuat semakan perundangan untuk mengambil tindakan sivil kepada individu yang bukan lagi ahli lembaga pengarah, kakitangan FELDA atau FIC.

Katanya, pegawai yang masih bersama FELDA atau FIC boleh dikenakan tindakan turun pangkat dan gaji, tertakluk kepada kuasa yang ada pada jawatankuasa organisasi terbabit.

819 dibaca
Berita Harian X