Jumaat, 9 Februari 2018 | 6:06pm
TAN Sri Isa Abdul Samad. - Foto Hazreen Mohamad

'Saya tak ada kena mengena'

KUALA LUMPUR: "Saya tak ada kena mengena lagi dengan FELDA. Tanya Pengerusi FELDA."

Itu komen ringkas bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Abdul Samad, ketika dihubungi petang ini apabila diminta mengulas laporan audit forensik projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

"Saya tak mahu komen," katanya sebelum mengakhiri perbualan.

Laporan audit forensik itu menyenaraikan secara kolektif ahli Lembaga Pengarah FELDA dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) ketika transaksi tanah milik FELDA di Jalan Semarak berlaku sejak 2014, untuk tindakan tata tertib dan undang-undang.

Isa adalah Pengerusi FELDA dari 2011 hingga Januari 2017, Pengerusi FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.

Kontroversi membabitkan tanah FELDA tercetus selepas BH dalam laporan muka depannya pada 21 Disember tahun lalu mendedahkan mengenai pindah milik tanah agensi itu di Jalan Semarak diragui.

Ia dipercayai berlaku apabila FIC melantik Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan PA bagi membangunkannya.

Susulan audit forensik ke atas projek KLVC, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman bagi mengambil tindakan atas cadangan dan syor laporan audit.

Jawatankuasa Perunding turut ditubuhkan bagi mengkaji semula perjanjian antara FIC dengan SPSB dan Synergy Promenade Kuala Lumpur Vertical City Sdn Bhd (SPKLVCSB).

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad dalam sidang media malam kelmarin berkata, agensi itu turut menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Lembaga FELDA bagi membuat semakan perundangan untuk mengambil tindakan sivil kepada individu yang bukan lagi ahli lembaga pengarah, kakitangan FELDA atau FIC.

Katanya, pegawai yang masih bersama FELDA atau FIC boleh dikenakan tindakan turun pangkat dan gaji, tertakluk kepada kuasa yang ada pada jawatankuasa organisasi terbabit.

14251 dibaca
Berita Harian X