Isnin, 12 Februari 2018 | 2:10pm
PRESIDEN Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH), Datuk Mohd Yunus Pathi. - Foto Fariz Iswadi Ismail
PRESIDEN Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH), Datuk Mohd Yunus Pathi. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Operasi banteras dadah di set penggambaran- PENGASIH

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH) menyifatkan langkah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) untuk mengadakan operasi di lokasi penggambaran drama atau filem satu tindakan yang agresif.

Presidennya, Datuk Mohd Yunus Pathi, berkata ia bukan saja agresif, malah dianggap bukan keputusan tepat bagi membanteras masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan artis tanah air.

Katanya, jika ada penggiat seni yang tertangkap, ada kemungkinan kerjaya seni dan masa depan mereka akan musnah.

"Saya bukan menyokong penggunaan dadah terutamanya ganja dalam kalangan artis, tetapi lebih elok kalau mereka yang didapati positif ganja diberikan kaunseling tanpa perlu dihadapkan ke mahkamah.

"Kalau kita lihat, proses bermula daripada ujian air kencing, tahanan di lokap, turun naik mahkamah dan ia satu proses panjang serta memakan kos tinggi.

"Lebih baik AADK gunakan pendekatan kaunseling dan berikan mereka rawatan sebagai pesakit, daripada membawa mereka ke mahkamah, kecuali jika ia kes dadah yang berat sehingga membawa mudarat kepada orang lain.

"Saya kurang bersetuju dengan serbuan dan operasi di lokasi penggambaran, ia turut menjejaskan pengeluar filem dan banyak lagi perkara lain," katanya selepas majlis penutup program Latihan Memperkasa Jati Diri Rumah Pengasih di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kebangsaan, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

Jumaat lalu, SENIMAN dan AADK bersetuju bekerjasama mengadakan operasi di set penggambaran bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan artis.

Setiausaha Agung SENIMAN, Mohd Hafiz Mohd Nafiah, berkata gejala penagihan dadah dalam kalangan artis dianggap sudah 'tahap kemuncak', justeru langkah drastik perlu diambil bagi membersihkan imej golongan anak seni.

Sementara itu, Suhaimi berkata, golongan artis perlu sedar tindakan mereka sentiasa menjadi ikutan.

"Jadi, mereka perlu jauhkan diri daripada dadah kerana artis ini ada pengaruh yang sepatutnya digunakan bagi perkara positif.

"Contohnya, kita galakkan mereka (artis) menyertai PEMADAM, bersama-sama turun padang berkempen, beri penerangan bahaya dadah.

"Mereka boleh mendidik golongan muda menjauhi dadah dan pengaruh mereka ini amat kuat kepada anak-anak kita," katanya.

Berita Harian X