Selasa, 13 Februari 2018 | 12:40pm
ZAITON Othman bersama cucunya, Nur Ghaziyah Athirah hanya mampu terbaring di dalam pengusung bayi ketika ditemui di Taman Makmur, Kluang. - Foto Adnan Ibrahim

Tangisan tanpa suara, anak yatim piatu harapkan simpati

KLUANG: Pada usianya baharu empat tahun, Nur Ghaziyah Athirah Muhamad Abu Dujanah, bukan menjadi yatim piatu selepas ibu bapa dan tiga adik beradiknya terbunuh dalam nahas 12 Disember lalu, malah dia kini berdepan masa depan suram apabila hanya mampu terbaring ekoran kecederaan dialami dalam tragedi itu.

Akibat kecederaan dalam nahas itu, Nur Ghaziyah Athirah bukan setakat hilang ingatan, malah tidak mampu bersuara, selain terpaksa bergantung kepada susu khas yang disalurkan melalui hidungnya.

Walaupun sebelum ini, kanak-kanak itu seorang yang lincah, tetapi dia kini terpaksa mengharapkan bantuan neneknya, Zaitun Othman, 50, untuk menguruskan diri

Dalam kejadian jam 6 petang pada 12 Disember lalu, ibu bapanya, Muhamad Abu Dujanah Dzulkrinain dan Zinnirah Abdul Hamid, 28, serta tiga adik beradik Nur Ghaziyah, Nur Magfirah, 6, Muhammad Abu Ajwad, 4, dan Nur Alia Humairah, tiga bulan, mati di tempat kejadian.

Tragedi itu berlaku, apabila kereta yang mereka naiki bertembung sebuah bas di Kilometer 176, persimpangan Kampung Melayu Raya, Segamat.

"Tolonglah, saya merayu kepada mereka yang sudi menghulurkan bantuan untuk merawat cucu saya ini yang kini hanya terlantar di katil akibat kemalangan itu," rintih Zaitun.

Zaitun berkata, suaminya Dzulkarnain Yusoh, 55, hanya menjual kebab di pasar malam dengan pendapatan tidak seberapa, menyebabkan mereka tersepit untuk memberikan rawatan terbaik kepada Nur Ghaziyah Athirah.

Katanya, walaupun terselamat, cucunya itu tidak mampu berjalan kerana patah kedua-dua kaki serta tulang pinggul, manakala otaknya mengalami gegaran dan pendarahan, menyebabkannya hanya mampu terbaring.

"Dia kini berdepan masalah hilang ingatan serta tidak boleh bersuara walaupun ketika menangis, lebih menyedihkan Nur Ghaziyah Athirah tidak mampu menelan makanan menyebabkan kami terpaksa menggunakan susu khas yang dimasukkan melalui tiub untuk membantu pembesarannya.

"Bagi mengubatinya, kami perlu membawanya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, tiga kali sebulan dan Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang di sini, dua kali sebulan," katanya.

Menurutnya, walaupun sedar keperluan Nur Ghaziyah agak tinggi hingga mencecah RM700 sebulan termasuk untuk membeli susu khas dan lampin pakai buang, mereka cekalkan hati untuk membela cucunya itu dan terpaksa berjimat cermat.

Bagaimanapun, katanya, mereka juga perlu menyediakan perbelanjaan anak yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

"Berikutan itu, saya merayu orang ramai menghulurkan bantuan bagi membolehkan kami gunakan sebagai tambang dan keperluan harian Nur Ghaziyah sehinggalah dia pulih sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, bagi mereka yang berminat boleh menghubunginya di nombor 011-11984344 atau datang terus ke rumah mereka di Taman Makmur di sini.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X