Selasa, 13 Februari 2018 | 1:44pm
HAMZAH Zainuddin. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KR1M 2.0 tambah 'ahli' baharu

KUALA LUMPUR: Operasi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 bakal diperluaskan merangkumi kedai runcit persendirian dalam usaha membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata model perniagaan dengan rangkaian ketiga KR1M 2.0 itu akan dipacu menerusi pembekalan pelbagai produk daripada Tunas Manja Group (TMG).

Katanya, ia juga sebahagian daripada inisiatif kerajaan membantu golongan pengusaha kedai runcit persendirian untuk melonjak kadar jualan dan mempelbagaikan penawaran produk daripada jenama ternama dengan harga berpatutan.

"Kita tidak akan terburu-buru dalam memeterai kerjasama dengan kedai runcit persendirian untuk menjadi sebahagian daripada KR1M 2.0 kerana perlu mempertimbangkan pelbagai faktor.

"Paling utama adalah menilai kemampuan TMG untuk menyerap kos logistik dalam rantaian pembekalan produk supaya barang keperluan yang dijual di kedai runcit persendirian ini berupaya ditawarkan pada harga berpatutan.

"Ini ialah fasa ketiga KR1M 2.0 selepas TMG dan KK Mart, yang masing-masing menggunakan konsep perniagaan pasar raya serta kedai serbaneka," katanya pada sesi taklimat media, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Alhabshee dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin.

Hamzah berkata, perangkaan terbaharu menunjukkan kadar jualan TMG meningkat kira-kira tujuh peratus sejak KR1M 2.0 dilancarkan pada 4 Februari lalu, sekali gus mencerminkan keberkesanan model perniagaannya.

"Kita sasarkan untuk menambah pemasaran unit simpanan stok (SKU) daripada 50 kepada 100 produk, menjelang hujung April ini bagi menambah pilihan barangan kepada pengguna.

"Setakat ini, kita ada penambahan tujuh SKU, merangkumi pilihan produk beras dan barangan keperluan harian," katanya.

Mengulas prestasi sektor peruncitan, Hamzah menjelaskan, ia masih dalam keadaan berdaya saing meskipun wujud dakwaan segelintir pihak bahawa majoriti pengusaha berdepan penyusutan kadar jualan menjangkau empat peratus.

Beliau berkata, statistik 2017 menunjukkan pasar raya Giant yang sudah lama bertapak di negara ini, umpamanya mengambil keputusan untuk menutup lapan cawangannya, namun membuka satu unit baharu.

"Saya panggil pengurusan Giant untuk tanya kenapa tutup cawangan dan maklum balas yang diberikan adalah berkaitan pengurusan lokasi strategik, bukan disebabkan penyusutan jualan sektor peruncitan," katanya.

Berita Harian X