X
Khamis, 15 Februari 2018 | 6:34pm
MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga kiri) bersama dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexender Nanta Linggi (tiga kanan) dan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah (dua kanan) melihat produk keluaran koperasi ketika menghadiri Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Orang Asli Peringkat Kebangsaan 2018 di Hotel Aliya, Klang. - Foto Muhammad Sulaiman

Koperasi Orang Asli terokai pelancongan desa

KLANG: Koperasi Orang Asli digalak mencuba bidang pelancongan desa bagi meningkatkan pendapatan berikutan ia tidak memerlukan modal yang besar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, pelancongan desa seperti homestay atau inap desa, mampu menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.

"Ramai orang di luar sana ingin mengetahui kehidupan sebenar Orang Asli kerana perbezaan budaya dan cara hidup.

"Inap desa lebih mudah kerana konsepnya, pelancong akan tinggal bersama dan makan makanan yang sama seperti tuan rumah.

"Maka, tidak perlu membina rumah baharu atau menyediakan makanan berasingan," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Orang Asli Peringkat Kebangsaan 2018, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Senator Orang Asli Semenanjung, Isa Ab Hamid.

Ismail berkata, terdapat 94 koperasi Orang Asli di negara ini dengan keahlian seramai 13,599 orang.

"Sebanyak 88 daripadanya adalah koperasi mikro, yang mempunyai perolehan kurang daripada RM200,000, lima koperasi kecil dengan perolehan RM200,000 hingga RM1juta dan satu koperasi sederhana dengan perolehan RM1 juta hingga RM5 juta.

"Koperasi Orang Asli tidak boleh selamanya menjadi mikro sahaja, perlu ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk tingkatkan koperasi daripada mikro kepada koperasi kecil seterusnya sederhana dan besar," katanya.

Beliau berkata, kementerian itu melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memberi peruntukan berjumlah RM20 juta untuk membentuk serta melahirkan 600 usahawan Orang Asli dan RM2 juta daripada peruntukan berkenaan diberikan kepada koperasi untuk usaha pembangunan.

Berita Harian X