Sabtu, 17 Februari 2018 | 5:07pm

Cakap berlapik antara punca emosi terpendam

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes penderaan terutama membabitkan kanak-kanak secara mendadak menunjukkan masyarakat kekurangan ilmu serta tidak pandai mengurus emosi.

Pakar Motivasi dan Kaunseling Keluarga, Dr Robiah Kulop Hamzah, berkata budaya masyarakat yang sering menekankan aspek cakap berlapik untuk menjaga hati menyebabkan banyak emosi yang terpendam sehingga mencetus kemudaratan.

Beliau berkata, perasaan marah yang dipendam berikutan tidak dapat diluahkan dengan cara yang sepatutnya, akhirnya akan keluar sendiri tetapi disertakan dengan tindakan ganas yang akhirnya boleh merosakkan kehidupan mangsa.

"Emosi marah harus dikawal dan ditangani secara bijak supaya seseorang itu tidak memendam seterusnya sentiasa berasa marah sehingga kegilaan akhirnya tercetus berikutan akalnya sudah dikuasai emosi.

"Budaya kita pula selalu menekankan lelaki tidak boleh menangis. Wanita pula apabila mengadu mengenai masalah rumah tangga akan dikatakan mengada-adakan cerita dan sensitif.

"Jika semua masyarakat berfikiran begitu, tidak mustahil kes penderaan semakin berleluasa kerana ibu bapa mangsa tiada tempat mengadu dan akhirnya menggunakan kekerasan sebagai jalan terakhir," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, sikap suka memendam perasaan dalam kalangan anggota masyarakat menyebabkan pelbagai 'penyakit jiwa' tercetus.

Perlakuan ganas yang tercetus bukannya akibat perasaan marah dalam masa sehari tetapi ia berkumpul dari sehari ke sehari sehingga tiba satu saat ia sudah tidak dapat dibendung lagi.

"Masalah ketidakserasian pasangan suami isteri, masalah kewangan yang menghimpit keluarga, tekanan di tempat kerja juga antara punca ibu bapa melepaskan marah terhadap anak-anak," katanya.

Selain itu, kerapuhan dari segi spiritual turut dilihat sebagai faktor anggota masyarakat tiada lagi nilai kasih sayang sesama mereka.

"Apabila ajaran Islam diketepikan, inilah akibatnya. Berapa ramai masyarakat kita yang tidak menjaga solat dan mencari sumber rezeki yang tidak tahu halal atau haram. Faktor ini juga antara penyebab kenapa masyarakat semakin hilang pertimbangan dan bertindak di luar kawalan," katanya.

Dr Robiah merujuk laporan berita NSTP mengenai beberapa kes dera membabitkan anggota keluarga sehingga menyebabkan kematian.

Berita Harian X